3 mak nyah diarah solat berjemaah

LANGKAWI: Tiga lelaki berperwatakan wanita menerima pengajaran awal apabila diarah menunaikan solat Maghrib secara berjemaah bersama jemaah lain di Masjid Al-Hana, Kuah di sini, petang kelmarin.

Sebelum itu, mereka yang berusia 20-an ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Langkawi (Padal) dalam pemeriksaan di sebuah pusat karaoke, kira-kira jam 6.30 petang.

Ketiga-tiga mak nyah berkenaan turut diberi kemeja- T dan kain pelikat untuk menunaikan solat supaya mereka insaf dan kembali menjadi lelaki sejati.
Pegawai Penguat Kuasa Padal, Rosyadah Ramli berkata, semua lelaki itu ditahan ketika leka menyanyi dalam sebuah bilik di pusat karaoke terbabit.

Beliau berkata, ketiga-tiga mereka memakai kosmetik, beg tangan dan berpakaian wanita tetapi ketika soal siasat mengaku lelaki.

“Selepas ditahan, kami memberi kaunseling sebelum mengajak mereka menunaikan solat berjemaah agar dapat memberi keinsafan.

“Kami kemudian mengeluarkan saman supaya mereka hadir untuk diambil keterangan di pejabat agama daerah,” katanya.

Katanya, ketiga-tiga lelaki terbabit adalah penduduk tempatan dan belum pernah ditahan sebelum ini.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 7 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.