Budak dilari bersama kereta diselamatkan polis dalam 7 minit

MELAKA TENGAH: Hanya tujuh minit. Itulah tempoh polis daerah ini menyelesaikan kes sebuah kereta yang dinaiki seorang kanak-kanak berusia lapan tahun dilarikan seorang penjenayah di Jalan Melaka Raya 8, Taman Melaka Raya di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, mangsa, Nor Abdullah Afiq Abdullah sedang tidur di tempat duduk belakang kereta jenis Proton Gen-2 milik datuknya, Abu Samah Othman, 62.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman, berkata kes itu berjaya diselesaikan dengan pantas hasil kecekapan anggota polis bertindak sebaik menerima aduan mengenai sebuah kereta yang diletakkan di Jalan Melaka Raya 8, dilarikan bersama seorang kanak-kanak.
Beliau berkata, anggota polis yang menerima maklumat melalui frekuensi peronda polis itu berjaya mengesan kereta mangsa di Jalan Parameswara, kira-kira dua kilometer daripada tempat kejadian.

“Kereta dan pemandunya kemudian ditahan. Pemeriksaan selepas itu menjumpai seorang kanak-kanak di dalamnya, selain polis menemui beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri kenderaan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Salehhudin berkata, hasil siasatan lanjut, polis menahan dua lagi rakan suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun dan wanita warga Thailand berusia 20-an di sebuah hotel.

“Polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang di bawah penjagaan yang sah,” katanya.
Sementara itu, Abu Samah ketika ditemui berkata, ketika kejadian beliau sedang berurusan di pejabat sebuah syarikat insurans di Jalan Melaka Raya 8.

Katanya, beliau tidak membawa cucunya yang ketika itu sedang tidur dan meninggalkannya di dalam kereta tidak berkunci kerana membuka pendingin hawa dan radio.

“Bagaimanapun, tidak sampai lima minit berurusan di syarikat itu, saya terkejut apabila mendapati kereta saya tidak ada di tempat letak kereta.

“Dengan bantuan seorang daripada kerani syarikat insurans terbabit, saya membuat laporan di Balai Polis Bandar Hilir di sini, selain memaklumkan kejadian itu kepada seorang anggota trafik yang kebetulan lalu di situ," katanya.

Abu Samah berkata, kira-kira enam minit menunggu di balai polis, beliau dimaklumkan bahawa kereta dan cucunya berjaya ditemui di Jalan Parameswara di sini.