Tambahan 10 sen untuk subsidi petrol RON95

Kerajaan menaikkan subsidi untuk petrol RON95 sebanyak 10 sen pada bulan ini - kepada RM1.03 seliter - ekoran kenaikan harga minyak dunia.
Menurut The Star hari ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata harga RON95 kekal pada RM1.90 seliter.
Kali terakhir kerajaan menyemak harga RON95 - dari RM1.85 kepada RM1.90 seliter - ialah pada bulan Disember 2010.
Sementara itu Bernama memetik Ismail berkata, kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan harga minyak walaupun harga bahan itu di pasaran dunia semakin meningkat.

Katanya kerajaan akan terus menanggung jumlah subsidi yang bertambah bagi memastikan beban rakyat berkurangan ekoran peningkatan harga barangan susulan kenaikan harga minyak dunia tersebut.

"Subsidi kita memang bertambah, dah jadi 93 sen setakat hari ini," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
   
Ismail Sabri berkata pengurangan subsidi juga hanya akan menyebabkan kenaikan harga barangan lain yang tiada kaitan secara langsung dengan minyak.

"Ini kerana bila kos pengangkutan meningkat akibat kenaikan minyak, maka pengguna yang akan menerima bebanan tersebut," katanya yang ditemui selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian.

Beliau berkata setakat ini beberapa negara di rantau Asia seperti China dan Indonesia sudah menaikkan harga minyak masing-masing ekoran harga bahan api yang melambung.

Semalam dilaporkan harga minyak diniagakan di bawah paras US$125 setong berikutan kebimbangan terhadap kestabilan kewangan di zon Euro selain sesetengah negara memberhentikan pembelian dari Iran bagi mengelakkkan sekatan pihak Barat.

Dalam sidang media itu Ismail Sabri turut mengumumkan program Anugerah Kedai Harga Patut kini dikenali sebagai Anugerah Kedai Pilihan Rakyat 1Malaysia yang turut disertai penambahbaikan termasuk pencalonan oleh pengguna.

Sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu barangan pengguna, makanan, ketrampilan, gajet, informasi dan pasar raya.

"Bagi menentukan pemenang dulu kita bergantung kepada pemilihan juri, tetapi sekarang ini kita buat macam Akademik Fantasia, 50 peratus markah ditentukan oleh juri dan 50 peratus markah lagi ditentukan oleh orang ramai. Baru kedai ini benar-benar merupakan kedai pilihan orang ramai," katanya.

Pekedai dan orang ramai boleh membuat pendaftaran dan pencalonan dalam talian mulai hari ini manakala bagi pengundian secara talian akan dibuat pada 24 April.

"Program ini baik untuk pengguna sebab melalui pertandingan ini peniaga dapat memperbaiki perkhidmatan dengan menawarkan harga yang istimewa kepada pengguna," katanya.
-Malaysiakini