Tarian Tiang Dibayar Mahal

NILAI – Hanya 10 minit menari dengan menampilkan aksi ghairah di hadapan tetamu, seorang penari tarian tiang di sebuah pusat hiburan mampu meraih bayaran lumayan sehingga RM250.
 Itulah situasi yang berlaku di sebuah pusat hiburan di sekitar daerah ini apabila wanita tempatan terbabit menjadikan persembahan ghairah dan berpakaian seksi sebagai satu sumber pendapatan mereka.

Bagaimanapun, kegiatan mereka terbongkar dalam serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

Serbuan turut mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) yang membuat pemeriksaan mengejut di pusat hiburan berkenaan, kira-kira 2 pagi kelmarin.

Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) negeri, Asisten Superintendan Yusharifuddin Mohd Yusop yang mengetuai operasi khas itu berkata, serbuan dilakukan hasil risikan pihaknya selama tiga minggu berhubung kewujudan aktiviti itu di premis berkenaan.

Katanya, premis terbabit baru beroperasi sejak sebulan lalu.

“Ketika serbuan, puluhan pelanggan termasuk mereka beragama Islam sedang asyik menyaksikan aksi ghairah tarian tiang. Mereka kemudian menggelabah sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa.Penari tiang

“Seramai 91 pengunjung termasuk 83 yang beragama Islam dan wanita berusia 17 hingga 63 tahun diperiksa,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, seramai 31 daripada mereka termasuk tujuh wanita ditahan, manakala tujuh lelaki didapati positif dadah dipercayai ekstasi dan 24 lagi melakukan kesalahan meminum minuman keras.

Yusharifuddin berkata, tiga gadis tempatan yang sedang asyik beraksi ghairah mempamerkan tarian tiang kepada pelanggan turut ditahan.

“Dua daripada mereka didapati mabuk dan diserahkan kepada JHEAINS untuk tindakan lanjut.-Sinar Harian