15 Cedera Pesawat Virgin Lakukan Pendaratan Kecemasan Di London

LONDON: Seramai 15 penumpang cedera apabila pesawat Virgin Atlantic, Isnin, membuat pendaratan kecemasan di lapangan terbang kedua London, Gatwick, menurut kenyataan yang dikeluarkan lapangan terbang tersebut.

Pesawat, Virgin Airbus A330, perjalanan ke Orlando di Amerika Syarikat, terpaksa berpatah balik selepas berlepas disebabkan kebakaran, mengikut laporan media.

Beberapa penumpang mengalami kecederaan, termasuk patah tulang dan luka disyaki berlaku ketika cuba melepaskan diri daripada pesawat menggunakan pelongsor kecemasan.

Penumpang, Kristy Bonwick berkata para penumpang terus turun ke bawah ketika kejadian.

"Banyak orang tercedera, patah tangan dan mengalami luka-luka," katanya kepada Sky News.

David Davis yang memberi perkhidmatan ambulans berkata mereka yang mengalami pelbagai kecederaan sedang dirawat.

"Mereka disyaki patah buku lali, kaki serta tangan, menunjukkan kecederaan di bahagian belakang dan tulang belakang mereka," katanya.

"Terdapat juga mereka yang mengalami kecederaan perut, atau disyaki cedera di bahagian tersebut."

Mereka yang tercedera adalah antara 13 anak kapal dan 299 penumpang dalam penerbangan dari Gatwick sebelum pukul 11 pagi waktu tempatan.

Kejadian itu membawa kepada penggantungan sementara penerbangan masuk dan keluar dari lapangan terbang, juga mengakibatkan beberapa kelewatan.

"Disebabkan masalah teknikal pada kapal terbang, kapten memutuskan mengosongkan pesawat dengan segera sebagai langkah berjaga-jaga," menurut Virgin dalam kenyataan.

"Pasukan kami di Gatwick kini menjaga penumpang dan membantu memberi keperluan kepada mereka serta-merta."

Ketua Eksekutif Virgin Atlantic Steve Ridgeway memberitahu Sky News beliau tidak dapat mengesahkan laporan oleh beberapa penumpang di Twitter bahawa mereka telah melihat asap dalam kabin.

"Saya baru sahaja bersama dengan penumpang dan tiada seorang pun daripada mereka menyebut perkara itu kepada saya," katanya.

Pemilik Virgin Group yang merupakan jutawan British Richard Branson, telah menghantar mesej di Twitter meminta maaf kepada penumpang penerbangan VS27 dan berkata kakitangan melakukan semua yang mereka mampu untuk menjaga mereka.

harakahdaily/-