AC Mizal: Barisan Artis Nasional bantu Perak promosi pelancongan



AC Mizal tawar nafkah berganda
IPOH - Barisan Artis Nasional (BAN) ditubuhkan sebagai platform penggiat seni membantu mana-mana kerajaan negeri mempromosikan pelbagai produk pelancongan, kata Presidennya Datuk Mizal Zaini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai AC Mizal berkata keanggotaan pertubuhan itu tidak terhad kepada artis semata-mata tetapi terbuka dan boleh juga disertai mereka yang terlibat dalam industri seni.

"Ini bertujuan menyokong usaha mana-mana kerajaan negeri mempromosikan pelbagai program seperti dibuat kerajaan Perak yang menjadikan tahun ini Tahun Melawat Perak 2012 (TMP2012).

Ianya bagi membantu para artis lama bergiat semula dalam bidang seni," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran BAN di Hotel Riverfront oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di sini hari ini.

Mizal berkata selain memberi sokongan kepada kerajaan negeri, program yang diadakan juga memberi ruang dan peluang kepada ahli pertubuhan itu menambah pendapatan.

"Tidak semua artis di negara ini yang benar-benar berjaya dan saya rasa melalui aktiviti dan program yang dianjurkan pertubuhan ini kita mampu memberi peluang kerjaya kepada mereka.

"BAN tidak ditubuhkan di atas platform politik sebaliknya untuk merapatkan hubungan di antara rakan artis, ahli pertubuhan dan orang ramai," katanya.

Mizal berkata kerajaan negeri melalui Tourism Perak mengharapkan golongan artis dan industri seni dapat menjadi komponen penting dalam usaha mempromosikan pelancongan Perak ke serata dunia.

Selepas dilancarkan, BAN yang dinaungi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri Perak, Datuk Hamidah Osman mendapat penyertaan lebih 50 orang artis. - Bernama