BERSIH 2.0 tangkis kenyataan Nasha

Anggota jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah menangkis kenyataan timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa yang mempertikai kelayakan pengerusi bersamanya Datuk S Ambiga untuk memimpin gabungan badan itu.

Maria berkata keputusan untuk memilih Ambiga itu dipersetujui oleh kesemua 84 pertubuhan yang menyertai gabungan NGO untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil itu.
"Tidak (perlu) ada orang lain atau badan yang membuat keputusan untuk kami," katanya lagi dalam satu sidang media hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Nasharuddin bahawa Ambiga tidak layak memimpin BERSIH 2.0 kerana bekas presiden Majlis Peguam itu didakwa terlibat dengan kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transseksual (LGBT).

Nasharuddin, yang kini merupakan pengerusi satu badan yang dikenali sebagai Pusat Kajian Fiqh Kontemporari, semalam membangkitkan perkara itu ketika berucap dalam satu program wacana bertemakan LGBT Mengundang Bala Allah.-Malaysiakini