Bersih 3.0 serentak di 47 bandar dan 15 negara

KUALA LUMPUR 18 April: Ahli Jawantakuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, himpunan Bersih 3.0 akan diadakan di 47 bandar di 15 buah negara, dan bilangan itu terus bertambah.

Beliau memaklumkan perkara itu pada sidang media di Kelab Sultan Sulaiman, sejurus usai rapat rakyat ’10 Hari Menjelang Bersih 3.0′ semalam.
Katanya lagi, penganjur Bersih 3 di Kuala Lumpur sudah memaklumkan polis akan himpunan itu pada 28 April.

Sementara di Sabah dan Sarawak, pihak polis di sana mengizinkan himpunan berlangsung di kedua-dua tempat itu, kata Maria.
Sasterawan Negara Datuk A Samad Said pada sidang media sama menyatakan keyakinan perhimpunan Bersih 3.0 yang akan diadakan di seluruh dunia ini akan berjaya menarik lebih daripada 500,000 peserta.

“Ini bukan sekadar gembar-gembur, tapi reaksi masyarakat yang kami terima sebelum ini menjadikan kami berani menyatakan angka ini, dan sudah pasti kita harap lebih lagi,” katanya.
Rapat rakyat ’10 Hari Menjelang Bersih 3.0′ semalam dianjurkan oleh 39 gerakan gerakan anak muda, yang bergabung untuk menunjukkan solidariti bersama rakyat dalam perhimpunan Bersih 3.0.
Ia diadakan untuk mengumpulkan sokongan menjelang perhimpunan itu. Puluhan tokoh Pakatan Rakyat dan NGO memberi ucapan, termasuk Pengerusi Bersih 1.0, Syed Shahir Syed Mahmud,

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, dan penulis Hishamuddin Rais.
Pada sidang media sama, Ketua Perhubungan Awam Save Malaysia Stop Lynas, Clement Chin membetulkan tanggapan sesetengah pihak bahawa peserta Himpunan Hijau 3.0 yang diadakan bersama nanti akan mengadakan perarakan.

“Kami berkumpul di perkarangan KLCC dahulu sebelum ke Dataran Merdeka, dan ia bukanlah satu perarakan.
Menjawab soalan wartawan berkenaan kebenaran polis, beliau mengatakan himpunan hijau diadakan bersama Bersih 3.0, maka tidak perlu untuk mendapat kebenaran berasingan.

Himpunan Bersih 3.0 ‘Duduk Bantah’ akan diadakan pada 28 April ini di Dataran Merdeka bermula jam 2 petang. Ia diadakan untuk mendesak kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) membersihkan sistem pilihan raya sebelum pilihan raya umum ke-13.-Keadilandaily