'Demo khemah' di Terengganu pula


Sekumpulan mahasiswa dan NGO tempatan hari ini mengadakan perhimpunan membantah keputusan kerajaan Terengganu menarik balik pinjaman kepada mahasiswa tajaan negeri itu yang kerana menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu.

NONE

Perhimpunan yang disertai aktivis Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (GEMPUR) dan Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) itu bertujuan menuntut supaya pinjaman pelajaran diberikan semula kepada mahasiswa terbabit.



Demonstrasi itu berlangsung selama sejam bermula jam 2 petang tadi di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu yang menempatkan pejabat kerajaan negeri.


NONE

Menurut jurucakap GEMPUR, selain kira-kira 100 orang mahasiswa dan aktivis, bapa kepada seorang 'mangsa' terbabit juga turut hadir bagi mendesak Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said menunaikan tuntutan mereka.



Pada 18 Mac lalu Ahmad dilapor berkata kerajaan Terengganu menarik balik pemberian pinjaman kepada enam anak negeri itu selepas didapati terlibat dalam perhimpunan BERSIH di ibu negara tahun lalu.



Jurucakap GEMPUR bagaimanapun memberitahu Malaysiakini, jumlah sebenar yang ditahan biasiswa oleh kerajaan negeri bukan enam, tetapi sembilan orang kesemuanya.


NONE

Dalam perhimpunan itu, mereka turut membawa kain rentang mendesak kerajaan negeri membatalkan tindakannya.



Jurucakap itu yang juga seorang pemimpin mahasiswa di negeri Terengganu turut mengambil kesempatan mengadakan sesi penjelasan berhubung isu pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pendidikan percuma.



Malah, mereka juga meninggalkan sebuah khemah di depan Wisma Darul Iman sebagai simbolik sokongan kepada kumpulan mahasiswa yang kini sedang berkhemah di Dataran Merdeka supaya tuntutan mereka didengar.-Malaysiakini