Dua lelaki didenda terima rasuah tukar keputusan ujian dadah

JOHOR BAHRU: Dua lelaki didenda oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan bersubahat menerima rasuah RM5,000 untuk menukarkan keputusan ujian dadah, tahun lalu.

Hakim Mohd Nasir Nordin memerintahkan Khairuz Fizran Abdul Kadir, 25, dan Mohd Norizam Sabran, 29, masing-masing membayar denda RM5,000 dan RM6,000 atau penjara tiga bulan selepas mereka mengaku salah atas tuduhan pilihan.
Kedua-dua tertuduh yang merupakan penganggur didakwa menerima rasuah daripada pemilik kedai emas, Loh Ah Ba @ Hsih Mei Hsing, 63, sebagai dorongan menggunakan pengaruh pegawai daripada Jabatan Kimia Johor Baharu untuk menukarkan keputusan ujian dadah.
Khairuz Fizran dan Mohd Norizam didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Nasi Kandar Shafina Sdn Bhd, di nombor 22-02, Jalan Tun Abdul Razak, Susur 6, Taman Suria Muafakat, di sini, kira-kira jam 9.20 malam, 16 Jun 2011.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 163 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 163 kanun sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mereka pada mulanya didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Mengikut fakta kes, pada Februari 2011, suami kepada rakan Loh, iaitu Gan Kok Seng, 53, telah ditangkap oleh polis berkaitan kes dadah dan sehubungan itu, Loh telah meminta bantuan daripada kedua-dua tertuduh yang dikatakan mempunyai kenalan daripada Jabatan Kimia Johor Bahru.
Kedua-dua tertuduh ditangkap pada 16 Jun 2011, jam 9.20 malam selepas menerima wang itu di Restoran Nasi Kandar Shafina, selepas wanita itu melaporkan kepada SPRM pada hari sama, jam 6.30 petang.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Noorfazlin Hamdan dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA