Empat 'maut' di cabang tiga

Empat 'maut' di cabang tiga

LATI (Rantau Panjang) - Empat 'maut' dalam kejadian melibatkan empat kenderaan di Chabang Tiga Lubok Jong, Repek kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Dua mangsa meninggal di tempat kejadian, seorang di hospital sementara seorang lagi meninggal ketika dalam perjalanan ke Hospital Daerah Pasir Mas.

Kejadian dikatakan berlaku apabila sebuah bas pelancong membawa 40 penumpang dari Rantau Panjang, bertembung dengan sebuah kereta ‘prebet sapu’ dengan empat penumpang yang gagal berhenti di simpang tiga Repek dan sebuah lori dari arah Pasir Mas.

Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke hospital dengan ambulan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Klinik Kesihatan Meranti dan Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kemalangan yang berlaku, adalah latihan yang diadakan Hospital Daerah Pasir Mas dalam usaha untuk mempertingkatkan kemahiran kakitangannya berdepan kemalangan besar.

Pengarahnya, Dr Mohd Salleh Mat Jusoh berkata, Pasir Mas terletak di tengah laluan dan berkemungkinan berdepan dengan kemalangan sedemikian.

Menurutnya, beliau bangga dengan komitmen ditunjukkan kakitangan hospital yang berjaya melakukan latihan bencana jalan raya dengan kerjasama pelbagai agensi.

“Terima kasih kepada JPAM, Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang dan Pasir Mas, serta Pasukan Unit Kecemasan , Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak yang menjayakan latihan ini.

“Saya mengharapkan latihan dapat memberikan pengalaman berguna kepada kesemua kakitangan untuk digunakan ketika bertugas,” katanya pada sidang media semalam.-sinarharia