Empat sekeluarga rentung dalam kebakaran di Mukah

MUKAH: Sepasang suami isteri bersama dua anak mereka rentung dalam kebakaran yang memusnahkan kuarters yang mereka diami di ladang kelapa sawit dekat sini kira-kira 2.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Omar Bakhtiar Yakub memberitahu pemberita di sini hari ini mangsa dikenali sebagai William Uja Linggie dan isterinya Magdeline Mamba, kedua-duanya berumur 22 tahun, anak lelaki berumur dua tahun, Francis Fabregas, dan bayi perempuan berusia dua bulan, Francie Fenilia.
Beliau berkata polis dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 7.24 pagi semalam.
"Kami segera menghantar pasukan ke sana. Mereka tiba di tempat kejadian kira-kira 9.30 pagi dan membawa mayat mangsa ke Hospital Mukah," katanya.

Beliau berkata keluarga mangsa kemudiannya menuntut mayat empat beranak itu dan membawa pulang ke rumah panjang mereka di Rh.Radin Sumping di Nanga Taroh di Batang Mukah untuk persediaan pengebumian.

Omar Bakhtiar berkata kuarters itu kepunyaan Ladang Kelapa Sawit MPI-Pelita, kira-kira 56 kilometer dari sini dan sembilan kilometer lagi melalui jalan ladang.

Beliau berkata William Uja bekerja sebagai penyelia di ladang berkenaan. Katanya polis masih menjalankan siasatan dan menunggu laporan bedah siasat selain laporan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat. - BERNAMA