Enakmen Mufti: Pindaan dapat perkenan Sultan Kedah



Enakmen Mufti: Pindaan dapat perkenan Sultan Kedah
ALOR SETAR - Pindaan terhadap Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri Kedah, Selasa lalu, adalah sebahagian daripada usaha penambahbaikan sistem sedia ada selain mahu memperkasa pandangan Jawatankuasa Fatwa dan Mufti.

Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, sesuatu fatwa boleh dipinda mengikut kesesuaian masa dan ia bukan statik.

“Fatwa bukan suatu hukum, ia adalah pandangan berkaitan hukum-hakam agama. Kita bagi pandangan dalam sesuatu isu, contohnya merokok, fatwa dari setiap negara berbeza,” katanya.

Berdasarkan Kamus Dewan, fatwa membawa maksud keputusan tentang sesuatu hukum agama (yang belum pernah diputuskan lagi) berdasarkan nas al-Quran, hadis, dan sumber hukum lain, termasuk ijtihad oleh mufti (atau mereka yang berwenang tentang keputusan hukum syarak). Berfatwa memberikan (mengeluarkan) fatwa manakala memfatwakan membawa pengertian memberikan fatwa.

Sheikh Muhamad Baderudin berkata, pelbagai tanggapan yang dilemparkan terhadap pindaan enakmen itu kemungkinan adalah pandangan peribadi masing-masing, namun enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan terbabit.

“Lebih baik saya perjelaskan berdasarkan fakta, berbanding menjawab tuduhan yang dilemparkan. Ini untuk mengelak orang ramai lebih keliru,” katanya.

Menurutnya, pandangan agama tidak boleh dicabar di mahkamah kerana ia berkaitan dengan hukum hakam agama.

“Soal agama kita tidak boleh bawa kes ke mahkamah. Pandangan agama berbeza dengan kes di institusi mahkamah,” katanya.

Sheikh Muhamad Baderudin berkata, antara tujuan pindaan dibuat terhadap Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 ialah supaya fatwa yang diputuskan tidak diseret ke mahkamah bagi membolehkan hukum itu ditarik balik.

“Selain mahu membuat penambahbaikan dalam sistem sedia ada, kita juga mahu pandangan jawatankuasa fatwa dan mufti, yang diberi autoriti oleh Sultan Kedah, selaku Ketua Agama Islam Negeri Kedah dihormati,” katanya.

Menurutnya, sebelum rang undang-undang itu dibawa ke Dewan Undangan Negeri untuk dibahaskan, draf pindaan itu sudah dibentangkan kepada Sultan Kedah untuk penelitian, sebelum mendapat perkenan Tuanku untuk dipinda.

“Pindaan yang dibuat tidak bertujuan untuk menindas mana-mana pihak. Ini pandangan agama, hal berkaitan agama bukan perkara main-main. Kita tidak wajar campur adukkan isu semasa dengan agama,” katanya.

Walau bagaimana pun, Sheikh Muhamad Baderudin tidak menafikan wujud pelbagai pandangan berbeza dalam sesuatu isu, malah ada umat Islam yang patuh dan sebaliknya.

“Kita sentiasa buat pindaan pada mana-mana enakmen yang ada keperluan, supaya sistem perundangan sedia ada menjadi lebih baik. Kali terakhir pindaan dibuat pada tahun 2008 lalu,” katanya.-sinarharian