ESQ: Alumni gesa Majlis Fatwa buat keputusan segera


KUALA LUMPUR - Alumni ESQ 165 menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan membuat keputusan segera ke atas modul latihan ESQ 165 yang dijalankan di Malaysia sejak enam tahun lalu.

Alumni ESQ 165 Angkatan 26, Rosli Saat berkata, pihaknya menyedari faktor dikatakan kesesatan akidah terdapat dalam modul ESQ 165 dan mengakui kebenaran difatwakan Mufti Wilayah Persekutuan pada 17 Jun 2010.

Menurutnya, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan membuat keputusan bahawa latihan ESQ 165 boleh dijalankan de­ngan syarat ianya dipantau.

“Persoalan kami ialah siapa yang memantau di mana laporan pemantauan dan hasil pemantauan tersebut setelah dua tahun keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan dan Fatwa Wilayah Persekutuan dikeluarkan,” katanya dalam sidang media, semalam.
Hadir sama pada sidang media itu Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan hampir 30 bekas pekerja, bekas pelatih dan Alumni ESQ 165.

Sebelum ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 16 Jun 2010 yang dihadiri mufti-mufti memutuskan ESQ tidak bertentangan dengan akidah dan sya­riat Islam serta tidak bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang juga panel ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan berkata, ia boleh diteruskan, bahkan ia pendekatan terbaik untuk sedarkan individu dari segi ketuhanan, Islam dan peradaban.-Sinarharian