Gajah akan turun ke Dataran malam esok

Orang ramai khususnya warga Lembah Klang tidak harus melepaskan peluang menyaksikan dan memeriahkan persembahan kesenian 'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada' di Dataran Merdeka, malam esok.

Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata acara penuh tradisi dan kebudayaan seperti itu tidak selalu diadakan kerana ia hanya diadakan lima tahun sekali, iaitu sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

"Harapan kita orang ramai akan turun dan menyokong persembahan ini dan saya yakin ia dapat memukau penonton yang hadir," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada sesi latihan akhir di Dataran Merdeka malam ini.

Menurut Kamaruddin tumpuan utama pada malam esok ialah perarakan Diraja bermula dari Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke Dataran Merdeka yang didahului dengan seekor gajah disertai dengan tiupan Tetuang yang melambangkan Raja Raja Melayu zaman dahulu.

Katanya Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah Hamidon dijangka berangkat tiba pada pukul 9 malam.

Kamaruddin berkata Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan persembahan tersebut secara langsung menerusi saluran RTM 1 selain boleh diikuti menerusi Astro Ceria.

Pelbagai acara telah disusun dengan rapi bagi memeriahkan persembahan tersebut termasuk pertunjukan seni mempertahankan diri pelbagai kaum, penyampaian warkah sumpah setia serta persembahan oleh beberapa artis terkemuka tanah air seperti Awie, Faizal Tahir dan Noraniza Idris.

Tuanku Abdul Halim ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Istana Negara pada 11 April lepas.

- Bernama