Ibu lepas pantang kena cekup

DUNGUN – Seorang wanita yang baru dua bulan melahirkan anak antara yang dicekup polis narkotik di sebuah bangsal usang tepi sungai, dekat sini, pagi semalam.

Wanita berumur 30-an itu difahamkan mengunjungi bangsal yang dijadikan 'port' panas itu untuk melepaskan gian dadah.

Kedatangannya bagaimanapun sudah dinanti sepasukan polis yang bersembunyi dalam semak sejak jam 7 pagi bagi memerangkap sekumpulan penagih yang menjadikan bangsal usang itu sebagai 'port' gian mereka.

Suami kepada wanita berkenaan juga difahamkan penagih dan kini sedang menjalani hukuman di Penjara Penor, juga atas kesalahan dadah.

Selepas ujian saringan air kencing dilakukan, suspek wanita berasal dari Paka dan pernah beberapa kali ditahan polis itu didapati positif dadah jenis heroin.

Difahamkan, bayi suspek yang baru dua bulan dilahirkan itu turut diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tujuan perlindungan.

Selain suspek wanita terbabit, operasi bermula jam 7 pagi hingga 3 petang itu juga berjaya menahan 17 lagi lelaki, namun dua daripadanya dibebaskan selepas didapati negatif dadah.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan tersebut dan kesemua suspek kini ditahan reman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1952