Iklan jijik

PROMOSI HARAM...iklan ubat kuat lelaki digantung di lampu isyarat di Bandar Baru Bangi.
PROMOSI HARAM...iklan ubat kuat lelaki digantung di lampu isyarat di Bandar Baru Bangi.
PROMOSI...iklan ubat kuat lelaki digantung di lampu isyarat di Bandar Baru Bangi.
PROMOSI...iklan ubat kuat lelaki digantung di lampu isyarat di Bandar Baru Bangi.
KAJANG: Iklan haram menjual alat seks dan ubat ‘kuat’ lelaki yang digantung pada lampu isyarat di sekitar Bandar Baru Bangi, di sini, bukan saja menyakitkan mata, tetapi turut menimbulkan rasa kurang selesa orang ramai.
Bagi menarik perhatian orang ramai membeli produk mereka, pengiklan berkenaan menggantung iklan tidak senonoh itu yang dicetak menggunakan bunting kecil pada lampu isyarat.

Taktik itu digunakan pihak terbabit supaya iklan mereka jelas dilihat pengguna jalan raya ketika berhenti di lampu isyarat dan orang yang berminat boleh segera menghubungi nombor dipaparkan.
Tinjauan Metroplus di Bandar Baru Bangi mendapati iklan itu digantung di hampir semua lampu isyarat dan menggunakan nombor telefon bimbit berlainan pada setiap bunting.

Iklan terbabit memaparkan ayat ‘adult toy’ dan ‘ubat kuat lelaki’ turut diterjemahkan dalam bahasa Cina menyebabkan orang ramai terutama wanita berasa jijik membacanya.

Penduduk, Siti Hasmah Othman, 30, berkata dia bimbang remaja dan kanak-kanak cuba membeli peralatan seks dan ubat kuat selepas melihat iklan itu.
“Iklan seperti ini tidak sepatutnya disiarkan lebih-lebih lagi di tempat awam kerana boleh dilihat semua orang termasuk kanak-kanak. Saya dan penduduk lain rimas dan geli setiap kali terbaca ayat pada iklan itu ketika berhenti di lampu isyarat,” katanya.

Katanya, dia berharap pihak berkuasa mencari langkah untuk menyelesaikan masalah iklan haram kerana ia bukan saja merosakkan pandangan, tetapi mengotorkan kawasan.
Sementara itu, Ketua Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Shariman Mohd Nor berkata, menggantung iklan di lampu isyarat taktik terbaru pengiklan haram untuk mendapatkan pelanggan.

“Apa MPKj buat sekarang adalah menyerahkan nombor telefon iklan haram ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menamatkan perkhidmatan.

“Tindakan ini menghalang perbuatan itu berulang dan pada masa sama, majlis menurunkan semua iklan terbabit bagi mengekalkan kebersihan persekitaran,” katanya.

Beliau berkata, sebaik mengetahui pihak majlis mengambil tindakan, pengiklan haram mencetak iklan baru dengan menggunakan nombor berlainan.-hmetro