Impian Najib mahu eranya 'paling telus'



najib
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hasrat beliau untuk menceburi bidang politik sebahagiannya  didorong oleh kepercayaan terhadap potensi Malaysia yang banyak dan keyakinan penuh bahawa beliau boleh membantu negara merealisasikan potensi itu dan menjadi sebuah negara maju.

Dalam jawapan kepada soalan yang diutarakan oleh International Investor, sebuah kumpulan penyelidikan dan perunding bebas, mengenai sama ada beliau menjangkakan untuk menjawat jawatan Perdana Menteri selepas dipilih ke jawatan politik ketika berusia lewat 20-an, Najib menjawab:

"Mungkin bunyinya agak terlalu berani untuk mengatakan yang saya menjangkakan untuk menjadi PM, sebab perkara ini sudah tentulah bergantung kepada kehendak ramai orang iaitu sesuatu yang saya sekali-kali tidak akan ambil mudah.

"Bagaimanapun, apa yang saya boleh katakan dengan pasti adalah saya mempunyai cita-cita dan hasrat untuk memimpin ketika saya menceburi bidang politik."

Dalam satu wawancara khas yang disiarkan oleh International Investor dalam "Malaysia 2012 Who's Who" yang baru sahaja diterbitkan, Najib berkata sebahagiannya, yang didorong ketika beliau meningkat dewasa dan "melihat ayahanda saya membawa perubahan yang sebenar, menjangkau jauh bagi Malaysia dan rakyatnya."

Beliau menambah,"saya rasa kebanyakan anak muda mengagumi kerja bapa mereka dan dalam cara tertentu, apabila bapa anda melakukan sesuatu yang memberi kesan yang sangat positif kepada kehidupan rakyat, saya rasa agak sedikit ganjil jika saya tidak mahu mengikuti jejak langkahnya!"

Ketika diminta mengulas kenyataannya tidak lama dahulu bahawa apa yang bersesuaian kepada negara di masa lepas mungkin tidak semestinya sesuai di masa depan, beliau berkata, seperti semua rakyat Malaysia, beliau berbangga dengan sejarah negara.

"Namun daripada menoleh ke belakang, saya tegas memberi tumpuan terhadap membina masa depan kita. Saya tidak akan dapat melakukannya dengan paling berkesan melainkan saya menilai situasi semasa dan membuat pilihan yang saya percaya adalah yang terbaik untuk kita sekarang dan beberapa bulan serta tahun yang mendatang."

Beliau kemudian menjelaskan sebab beliau mengambil keputusan untuk memperkenalkan langkah baru dan radikal untuk melakukan transformsi ekonomi, menyatupadukan negara dan "menjadikan kerajaan ini yang paling telus dalam sejarah Malaysia."

Di samping transformasi ekonomi dan kerajaan, Najib berkata beliau memutuskan untuk melakukan perubahan besar seperti memansuhkan Akta Keselamatan Dalam
Negeri dan selanjutnya merobah negara ke arah menjadi sebuah demokrasi yang matang serta progresif.

"Perkara ini berada di kedudukan teratas dalam reformasi besar yang lain seperti menyemak semula undang-undang penapisan Malaysia, penubuhan suruhanjaya dwipartisan untuk menangani kebimbangan berhubung sistem pilihan raya di negara kita dan penerimaan Akta Perhimpunan Aman -- dan saya akan terus melakukan perubahan yang saya percaya diperlukan oleh Malaysia ketika negara ini terus mara ke hadapan dalam abad ke-21," katanya.

Ketika ditanya apakah yang akan menjadi cabaran utama kepada Malaysia dalam beberapa dekad akan datang, Najib berkata semasa beliau mengambil alih jawatan
Perdana Menteri pada April 2009, dua keutamaan utama beliau adalah pemulihan semula ekonomi dan membina kemakmuran jangka panjang.

Menyaksikan ekonomi Malaysia berkembang sejak dua tahun lepas di sebalik persekitaran global yang sukar, beliau berkata: "Jika tempoh itu ada memberi pengajaran kepada kita, pengajaran itu adalah negara di dunia tidak lagi boleh memencilkan diri dan mesti bekerja bersama-sama dalam era baru global ini."

Selain daripada menangani ketidaktentuan dalam ekonomi global, Najib berkata cabaran besar lain adalah untuk membangunkan sebuah ekonomi yang mapan dan inklusif serta untuk berusaha ke arah menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Sambil menyatakan bahawa tugas itu bukanlah mudah dan banyak halangan akan ada di sepanjang jalan, Najib berkata beliau telah menempatkan beberapa langkah di bawah Dasar Transformasi Negara seperti memodenkan ekonomi, menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam dan memanfaatkan kepelbagaian Malaysia.

"Jika kita berjaya -- kita bukan hanya menambah baik tahap kehidupan semua rakyat Malaysia, kita juga akan mentakrifkan semula kedudukan Malaysia di persada dunia."
Ketika ditanya sama ada beliau boleh mempengaruhi sesuatu keadaan memandangkan beliau kini menjadi Perdana Menteri, Najib, yang juga peminat Manchester United FC, berseloroh:

"Saya tidak boleh menahan Manchester United daripada kalah dalam Liga Juara-juara dan dibelasah (6-1 oleh Manchester City) dalam Manchester derby (Oktober lepas), jadi sudah tentulah saya tidak berupaya mempengaruhi keadaan walaupun saya terlalu amat inginkannya!"

Namun begitu, beliau berkata dalam banyak cara ini adalah pejuangan bagi ahli politik sejak sekian lama -- anda mahu supaya dapat melakukan perubahan yang anda yakin adalah terbaik untuk rakyat dan negara tetapi menjadi lumrah bahawa anda akan berdepan rintangan di pihak tertentu."

"Seperti ramai daripada kalangan sebelum saya, saya kadang kala berdepan masalah ini sejak menjadi Perdana Menteri, tetapi ini bukanlah sesuatu yang menghalang saya daripada berupaya melaksanakan beberapa perubahan yang radikal dalam ruang masa yang amat singkat yang akan membawa perubahan sebenar dan berpanjangan di Malaysia."

Najib berkata beliau percaya perubahan ini sangat penting bagi Malaysia untuk mengorak langkah seterusnya sebagai sebuah negara.

"Sememangnya menjadi hasrat saya bahawa apabila kami mengadakan pilihan raya umum akan datang, rakyat akan turut berpegang bahawa inilah keadaannya dan akan
membenarkan saya meneruskan proses reformasi yang saya pasti adalah tepat bagi kita semua," tegas beliau. - Bernama