Ingin jumpa anak, isteri

Ingin jumpa anak, isteri

BEDONG – Seorang warga emas yang mendakwa dirinya keturunan Syed ditemui berkeliaran di sekitar bandar ini sebelum ditempatkan sementara di Rumah Seri Kenangan Bedong (RSKB) oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pegawai JKM Kuala Muda, Mohamad Md Nor berkata, tinjauan mendapati lelaki terbabit yang mendakwa dirinya sebagai Syed Ibrahim Syed Mohd, 75, terputus hubungan dengan keluarga sejak beberapa tahun lalu dan menjadikan kaki lima kedai sebagai tempatnya berteduh.

Menurutnya, setelah menerima aduan orang awam, Mohamad bersama kakitangannya membuat tinjauan ke lokasi dimaksudkan tetapi penama tiada di situ namun beg milik penama dilihat ada di hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam dekat Jalan Badlishah, Sungai Petani.

“Turut terdapat dalam beg itu ialah pakaian berlipat, dua pasang pakaian pengawal keselamatan, sebuah gitar mainan, dua biji ladung, gunting dan rantai loket berbentuk hati.
“Setelah membuat tinjauan­, kita menjumpai lelaki berkenaan sedang makan di sebuah restoran nasi kandar berdekatan yang terlebih dahulu diberi kebenaran pemilik kedai,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, Syed Ibrahim berulang-alik ke kedai nasi kandar itu sejak dua tahun lalu selepas diberi kebenaran pemilik.
“Saya difahamkan, sebelum ini dia tidur di hadapan­ sebuah makanan segera dekat Jam Besar Sungai Petani sebelum berpindah ke kaki lima kedai menjual alatan haji dan umrah.

“Namun, berdasarkan maklumat, sejak kebelakangan­ ini, dia didapati melepak di hadapan sebuah kedai 24 jam pada sebelah malam sementara siangnya pula dikatakan mandi di sebuah masjid dan berlegar-legar sekitar pusat bandar memakai pakaian pengawal keselamatan,” katanya.
Mohamad berkata, Syed yang menjelaskan menetap di Kuantan, Pahang sebelum ini mempunyai dua orang anak manakala isterinya difahamkan bernama Hani Sarah.

“Kami merayu mana-mana pihak sama ada saudara atau rakan-rakan yang mengenali penama supaya tampil memberi maklumat tepat dalam usaha menjejaki keluarganya. Buat sementara waktu, penama ditempatkan sementara di RSKB sejak Rabu lalu sehingga waris muncul.

“Kita masih belum dapat mengesan keluarganya apabila penama tidak dapat menyatakan secara jelas asal-usul dan sering memberikan jawapan­ berbeza walaupun soalan sama diajukan berulang kali. Bagaimanapun, dalam tempoh 30 hari sekiranya tiada sebarang maklumat, kita akan mengambil perintah tetap untuk menempatkan dia di sebuah Rumah Seri Kenangan,” katanya.
Penama dalam sesi bual bersama wartawan Sinar Harian menjelaskan teringin berjumpa dua orang anaknya dan isteri yang terpisah.

Mohamad merayu mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat, boleh hubungi Pejabat JKM Kuala Muda di talian 04-4214900 atau datang terus ke pejabat.-Sinarharian