Jari kanak-kanak tersepit di mesin mainan



Jari kanak-kanak tersepit di mesin mainan













KOTA BHARU- Seorang kanak-kanak terpaksa menahan sakit hampir setengah jam apabila jari telunjuknya tersepit dalam mesin mainan di sebuah kedai runcit di Kedai Mulong, petang kelmarin.
Akibatnya, Mangsa, Mohamad Asyraf Mohd Huzaimi, 3, cedera ringan di jari terbabit dan diselamatkan anggota bomba yang tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
Menurut bapanya, Mohd Huzaimi Yahya, 32, ketika kejadian pada jam 5.30 petang, dia membawa anaknya ke kedai terbabit untuk mendapatkan barangan runcit.
“Saya turun bersama Asyraf dan dia menuding jari ke arah mesin mainan yang terdapat di kedai itu yang di dalamnya mempunyai hadiah yang perlu letakkan duit syiling untuk dapatkan hadiah,” katanya.
Menurutnya, dia memberi 50 sen kepada anaknya itu sambil masuk ke dalam kedai mencari barangan yang dikehendaki.
“Semasa membayar di kaunter, saya terdengar anak menangis dengan kuat dan saya meluru ke arahnya, mendapati jari telunjuknya terlekat pada mesin. Saya berusaha mengeluarkan tangannya, namun tangisannya semakin kuat dan menyebabkan saya menelefon bomba kerana takut berlaku kecederaan yang lebih teruk terhadap jarinya,” katanya.
Ketua operasi Balai Bomba dan Penyelamat Darul Naim, Ahmad Radi Ibrahim, pihaknya tiba pada pada jam 6.15 petang.
“Dalam masa 10 minit, kami berjaya lepaskan jari budak itu yang terlekat pada mesin itu dengan menggunakan alat pemecah khas,” katanya.