Kapas tertingal Dalm Hidung

 SITI KHADIJA menunjukkan laporan polis dan botol yang mengandungi  kapas yang tertinggal dalam hidungnya ketika ditemui semalam.Pelajar dakwa sakit pada bahagian pernafasan, tekak selepas dibedah
JOHOR BAHRU: Seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terkejut apabila mendapati segumpal kapas sepanjang tujuh sentimeter (cm) tertinggal dalam hidungnya, selepas seminggu menjalani pembedahan hidung bagi merawat masalah sinus di sebuah hospital swasta di sini. Siti Khadija Aziz, 24, berkata, beliau menjalani rawatan pada 14 Mac lalu selepas mengalami selsema dan sakit tekak sebelum doktor hospital berkenaan mengesahkannya mengalami sinus dan perlu menjalani pembedahan segera.

“Susulan cadangan itu, saya menjalani pembedahan hidung keesokannya.
Sepanjang tempoh selepas pembedahan, saya mula merasakan kesakitan pada bahagian pernafasan hidung hingga ke tekak selain kerap berlendir dan berdarah.

“Selain itu, saya juga mengalami kesukaran bernafas apatah lagi selepas pembedahan, doktor berkenaan tidak membenarkan proses pernafasan melalui hidung dilakukan. Saya juga sukar bercakap selain kedua belah telinga selalu gatal.

“Jika bercakap, suara saya menjadi sengau sehingga ramai bertanya apa yang berlaku hingga saya malu untuk berkomunikasi dengan rakan dan ahli keluarga yang lain,” katanya ketika ditemui, semalam.
Katanya, susulan kejadian itu pada 20 Mac lalu, beliau kembali mendapatkan rawatan susulan di hospital berkenaan dan memberitahu segala masalah yang dihadapinya tetapi doktor terbabit mendakwa keadaan itu adalah normal dan hanya memerlukan rawatan biasa.

“Selepas pulang daripada hospital, saya masih rasa sakit seperti sebelum ini selain kesukaran bernafas dan kerap keluar darah dan lendir dari hidung.

“Keadaan itu berlarutan hingga pada 23 Mac, saya tidak tahan lagi dengan kesakitan itu lalu menghembus nafas agak kuat melalui hidung dan apa yang mengejutkan, segumpal kapas bercampur darah dan lendir keluar melalui hidung.

“Selepas bahan asing itu terkeluar, pernafasan saya kembali normal dan boleh bercakap tanpa mengeluarkan suara sengau seperti sebelumnya. Pada 25 Mac, saya bertemu dengan dengan doktor terbabit dan menunjukkan kapas berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, doktor terbabit tidak menjelaskan penemuan gumpalan kapas itu, sebaliknya meneruskan rawatan seperti biasa dan cuba mengalih perhatian ketika persoalan mengenai kapas itu diajukan.

Sehubungan itu, katanya, beliau membuat laporan di Balai Polis Johor Bahru pada 28 Mac lalu selepas mengeluarkan perbelanjaan pembedahan dan rawatan kira-kira RM13,150. - Sinar Harian