Demo: Saya tahu perancangan siapa, Nik Aziz

nik aziz 16mac
KOTA BHARU – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan demonstrasi yang dilakukan masyarakat Orang Asli di hadapan pintu masuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Ahad lalu, tiada kaitan dengan Kerajaan Negeri.

Malah katanya, beliau tidak akan mengadakan sebarang pertemuan dengan penganjur demonstrasi tersebut kerana masyarakat Orang Asli tersebut datang dari luar Kelantan.
“Saya nak jumpa dia buat apa, kalau rakyat Kelantan saya jumpa, tapi kalau Orang Asli Kelantan, semuanya kita sudah selesaikan. Kalau orang luar tidak perlu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Ijtima Al Mala’ Kelantan 2012 di sini, semalam.

Ahad lalu, lebih 300 Orang Asli mengadakan demonstrasi untuk menyerahkan memorandum bagi mendesak kerajaan Pas Kelantan mewartakan tanah adat mereka.

Perhimpunan anjuran Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) itu turut dihadiri wakil daripada Majlis Peguam serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, masyarakat Orang Asli di negeri ini sudah menarik balik kes di mahkamah selepas menyedari Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan masalah mereka.

“Boleh jadi mereka iri hati dengan Orang Asli Kelantan kerana masalah di negeri ini diselesaikan kerajaan negeri, sebanyak mana tuntutan sudah lama kita menunaikannya,” katanya yang mengetahui siapa dalang di sebalik demonstrasi tersebut.

Ketika ditanya mengenai pengundi hantu, Nik Aziz mengakui kes itu sememangnya wujud dan menganggap ia sebagai usaha Umno untuk mengimbangi pengaruh sokongan terhadap perjuangan Islam yang dibawa Pas bersama Pakatan Rakyat.

“Umno nampak gelisah apabila melihat rakyat mula mempercayai gerakan Islam atau Pakatan Rakyat, kena terima hakikat rakyat Malaysia tidak boleh terima Umno, tapi kenapa sampai nak bawa masuk pengundi luar?

“Kerja membawa masuk warga asing untuk didaftarkan sebagai pemilih merupakan kerja jahat dan akan membawa kesan buruk kepada negara kerana mereka datang bersama perangai mereka,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapan penutup program, beliau berkata, pertambahan sehingga 30,000 pengundi dalam satu kawasan di Selangor tidak masuk akal.

"Tidak mungkin 30,000 dilahirkan dalam tempoh lima tahun dan boleh mengundi di kawasan itu, nak lawan hujah tak boleh sebab hujah Pakatan Rakyat memang kuat, akhirnya menggunakan pengundi hantu,” katanya.-SinarHarian