Lelaki menyamar pesakit rompak klinik gigi

GEORGE TOWN – Sebuah klinik pergigian di Lebuh Raya Batu Lanchang di sini kerugian lebih RM10,000 dalam bentuk wang dan barang-barang selepas disamun dua lelaki yang menyamar sebagai pesakit petang semalam.

Ketua Polis Daerah Timut Laut, ACP Gan Kong Meng berkata, kejadian berlaku pada 4 petang apabila dua lelaki itu datang ke klinik berkenaan kononnya untuk mendapatkan rawatan.

"Semasa itu seorang doktor dan pembantunya, kedua-duanya wanita, berada dalam klinik berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

"Sebaik dalam bilik rawatan, lelaki itu bertindak mengeluarkan pisau dan meminta doktor serta pembantunya menyerahkan beg duit, telefon bimbit dan barang berharga," katanya.

Kong Meng berkata, doktor terbabit hanya menyerahkan telefon bimbit kerana beg duitnya berada di bilik lain sebelum lelaki berkenaan mengarahkan mangsa mengambilnya.

"Selain sejumlah wang tunai, dua lelaki itu turut melarikan sebuah komputer riba, sebuah iPad, seutas jam tangan dan alat pencabut gigi," katanya. – BERNAMA