Lepas gian dalam ladang sawit



Lepas gian dalam ladang sawit













KUALA BERANG – Taktik licik sekumpulan penagih dadah yang menjadikan kawasan Ladang Kelapa Sawit, Kampung Sungai Lerek, Tanjung Baru sebagai ‘port’ melepaskan gian dengan mendirikan sebuah khemah berjaya dihidu pihak polis.
Malah, dalam serbuan dilakukan sepasukan polis cawangan narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu kira-kira jam 8.30 pagi kelmarin itu, polis berjaya menahan seorang janda anak dua serta tiga lelaki yang ketika itu sedang lena diulit mimpi dalam khemah didirikan mereka.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim berkata, ketika serbuan dilakukan keempat-empat suspek berusia antara 23 hingga 27 tahun itu sedang lena tidur dalam satu khemah dipercayai khayal akibat pengambilan dadah.
“Hasil siasatan awal mendapati, dipercayai terdapat tujuh individu dalam khemah tersebut, namun tiga daripada mereka telah meloloskan diri selepas menghidu kehadiran polis. Pemeriksaan ke atas beg berzip yang berada dalam khemah itu menemui 72 biji pil kuda dan sebotol heroin.
“Siasatan juga mendapati wanita berumur 25 tahun itu sanggup meninggalkan dua anaknya kepada bekas ibu mentuanya semata-mata mahu melepaskan ketagihan dadah di kawasan ladang kelapa sawit itu,” katanya.
Menurutnya, modus operandi mereka menjadikan kawasan ladang sebagai ‘port’ adalah untuk mengaburi mata pihak polis selain bagi mengelak kegiatan mereka dihidu.
“Kebiasaannya, khemah dijadikan ‘port’ di kawasan itu akan dikunjungi kira-kira 20 penagih dadah bagi lepaskan ketagihan serta dapatkan bekalan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di IPD Hulu Terengganu, di sini, semalam.
Menurutnya, kesemua suspek yang ditahan positif methamphetamine dan dengan penahanan mereka, polis percaya ia sedikit-sebanyak dapat melumpuhkan kegiatan pengedaran khususnya di kawasan terbabit.
Kes disiasat di bawah Akta 39A (1) Akta Dadah Berbahaya, malah kesemua suspek yang ditahan kini telah dihadapkan ke mahkamah.
Mereka turut ditawarkan jaminan sebanyak RM10,000 seorang bagi menunggu tarikh perbicaraan seterusnya, namun kesemuanya gagal membayar ikat jamin dan kini ditempatkan di penjara.-Sinarharian