Lima tikaman depan tunang

MAUT...rumah kedai tempat kejadian. Gambar kecil, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Roslan, mangsa ditikam bertubi-tubi.
MAUT...rumah kedai tempat kejadian. Gambar kecil, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Roslan, mangsa ditikam bertubi-tubi.
JOHOR BAHRU: Cuma tinggal beberapa jam untuk diijabkabulkan. Namun, nasibnya sangat malang apabila mati ditikam bertubi-tubi di hadapan bakal isteri dalam kejadian di depan rumah sewanya di Jalan Dedap 23, Taman Johor Jaya, di sini, kelmarin.

Lebih menyedihkan, sebelum kejadian jam 10.40 malam itu, mangsa, Indra Asrul Abdul Rahim, 29, baru saja meraikan hari ulang tahun kelahirannya bersama tunang yang hanya mahu dikenali sebagai Sabrina, 26.
Tiga suspek dalam kejadian itu dipercayai rakan serumah Indra membabitkan dua lelaki dan seorang wanita warga Myanmar.

Menceritakan kejadian terbabit, Sabrina berkata, Indra yang juga operator pengeluaran di sebuah kilang di Taman Desa Cemerlang, di sini, parah dan meninggal dunia di depannya.

“Kami sepatutnya bernikah pada Ahad ini (semalam). Sebelum kejadian, kami baru keluar bersama meraikan hari jadinya. Kini, kenduri pernikahan yang sudah diatur ditukar majlis tahlil,” katanya.-mymetro
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki yang sepatutnya melangsungkan pernikahan dengan tunangnya hari ini mati dibunuh di hadapan sebuah rumah kedai di Jalan Dedap 23, Taman Johor Jaya di sini semalam.

Indra Asrul, 29, mati di tempat kejadian selepas ditikam empat kali di bahagian perut apabila diserang tiga individu warganegara Myanmar termasuk
seorang wanita.

Tunang mangsa yang menyaksikan kejadian pada 10.40 malam itu berkata beliau dan mangsa pergi ke rumah kedai itu dengan menaiki motosikal untuk mengambil barang kerana mahu berpindah ke tempat lain.

"Kami menyewa rumah kedai tersebut bersama beberapa warga Myamnar, tapi kami nak pindah selepas seorang daripada mereka memasuki bilik air ketika saya sedang mandi," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Sharina, 26.
Akibat kejadian itu, berlaku pertengkaran antara mangsa dan lelaki Myanmar terbabit menyebabkan mereka mengambil keputusan berpindah ke rumah lain beberapa hari lalu.

Sharina yang ditemui di bilik mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini hari ini berkata beliau dan tunangnya hendak menaiki tangga rumah kedai dua tingkat itu apabila mangsa telah diserang ketiga-tiga suspek.
Salah seorang lelaki kemudiannya menikam perut mangsa beberapa kali menggunakan sebatang besi sebelum mereka melarikan diri.

"Saya sempat memangku mangsa yang cedera parah, namun dia meninggal dunia kira-kira 15 minit kemudian," kata Sharina.
Sharina dan tunangnya itu bekerja sebagai operator di sebuah kilang di Taman Desa Cemerlang di sini telah berkenalan lebih setahun lalu dan merancang untuk bernikah hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Roslan Zainuddin yang mengesahkan kejadian tersebut tidak menolak perselisihan faham punca kejadian tersebut.
Polis yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, masih memburu suspek yang terlibat. - Bernama