Mansuh PTPTN Laporan Dari Malaysiakini dan Sinar Harian

Sinar Harian :300 mahasiswa himpun tuntut mansuh PTPTN
Lebih 300 mahasiswa berarak dari kawasan Kompleks Beli-belah Sogo ke Dataran Merdeka
Aktivis mahasiswa Adam Adli bersama beberapa pelajar yang menyertai demonstrasi
KUALA LUMPUR - Lebih 300 mahasiswa menyertai demonstrasi di ibu negara petang ini menuntut pemansuhan skim pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Kumpulan mahasiswa itu, sebelum berhimpun di Dataran Merdeka, berkumpul di kawasan Masjid Jamek dan kemudian di pekarangan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman sekitar jam 2.30 petang mendengar ucapan beberapa pemimpin pelajar dan pemimpin PKR termasuk Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua, masing-masing Naib Presiden parti itu.
Mereka berhimpun di Dataran Merdeka menuntut respons daripada pihak kerajaan mengenai tuntutan mereka agar skim pinjaman PTPTN dimansuhkan.
Perhimpunan itu diketuai Presiden Malaysia Bangkit, Mohd Syahid Mohd Zaini dan Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia, Mohamad Safwan Anang.
NGO Gabungan Anak Muda Pantai Timur serta beberapa aktivis mahasiswa lain termasuk Adam Adli Abdul Halim juga hadir sama.
Menurut Adam, tindakan mengalungkan bunga itu sebagai tanda protes kepada pihak kerajaan sekarang yang masih belum mampu menyediakan pendidikan percuma kepada mahasiswa.
"Apa yang boleh dijanjikan oleh pihak kerajaan sekarang ialah jaminan hutang PTPTN puluhan ribu ringgit kepada mahasiswa demi meneruskan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) dan dalam keadaan tiada jaminan pekerjaan oleh pihak kerajaan kepada mahasiswa setelah tamat belajar.
"Kita akan terus berhimpun di hadapan Dataran Merdeka sehingga suara kami ini mendapat perhatian kerajaan dan mereka memberi maklum balas dan bertemu dengan kami," katanya ketika ditemui pemberita pada perhimpunan berkenaan.
Ketika berhimpun di hadapan Sogo, dua pemimpin PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua turut memberikan ucapan.
Mahasiswa yang menyertai perarakan itu turut berarak bersama gambar dua pemimpin yang dikalungkan bunga itu.
Kumpulan berkenaan turut melaungkan slogan antaranya "tolak hutang", "pendidikan bukan barang dagangan", "mansuh PTPTN", "jahanam Umno-BN", "reformasi" dan "revolusi" ketika berarak. Turut kelihatan kain rentang tertera tulisan mansuh PTPTN dan beri pendidikan percuma.
Mohamad Safwan berkata, mereka akan terus menuntut pendidikan percuma dan akan berkumpul di Dataran Merdeka dan sekiranya perlu, akan bekumpul di situ sehingga 28 April depan.
"Kita akan tunggu disini, sekiranya tiada halangan akan tunggu sehingga himpunan Bersih pada 28 April depan. Bersih adalah platform menyuarakan pendapat kami dan menukar sistem pemerintahan sedia ada sekiranya mereka masih tidak beri maklum balas kepada tuntutan kami.
"Jawapan bahawa kerajaan menanggung PTPTN sebanyak RM42 bilion adalah tidak tepat. Kami dapat maklumat dari PTPTN sendiri bahawa wang yang disalurkan kepada peminjam adalah RM27 bilion sahaja," katanya.
Mohamad Safwan berkata mereka akan mengadakan demonstrasi di tempat lain sekiranya tiada respons kepada tuntutan mereka.
Kumpulan berkenaan kemudiannya bergerak dan berkumpul semula di Dataran Merdeka jam 3.30 petang. Mereka nekad berkumpul di situ sehingga tuntutan mereka mendapat respons kerajaan.
Kumpulan mahasiswa itu bertindak mengalungkan bunga pada gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di hadapan kompleks membeli-belah Sogo.
Kronologi demonstrasi:
- Bermula jam 2 petang, kira-kira 300 orang berkumpul di Masjid Jamek. Kemudian mereka berarak ke Dataran Merdeka dan kemudian menuju ke Kompleks Sogo. Antara yang berada di barisan hadapan adalah Adam Adli, Safwan Anang dan Syukri Razak.
- Di pekarangan Kompleks Sogo, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua menyampaikan ucapan menggunakan pembesar suara, dalam lima minit
- Safwan Anang bersama Pengerusi Malaysia Bangkit, Mohd Shahid Zain telah bertindak meletakkan bunga pada gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pengajian Tinggi, Mohamed Khaled Nordin. Kalungan bunga beserta replika batu nisan di tepi kedua-dua gambar pemimpin itu, sebagai simbol ‘orang mati’, di hadapan batu nisan itu tertulis perkataaan ‘reformasi’, beserta poster-poster yang menggesa Najib berundur serta disusuli laungan mansuhkan PTPTN.
- 3.45 petang, kumpulan mahasiswa ini bergerak semula ke Dataran Merdeka, diketuai Safwan Anang. Menurut Adam Adli mereka akan duduk di Dataran Merdeka dan menunggu respons daripada pihak kerajaan untuk memberikan pendidikan percuma. Anggota polis dan trafik DBKL mengawal lalu lintas bagi memastikan keadaan terkawal dan memudahkan pergerakan orang ramai.
- 4.30 petang, setakat ini masih belum ada sebarang tangkapan.-SinarHarian
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Malaysiakini: Siswa mahu berkhemah hingga BERSIH 3.0

Seramai kira-kira 500 orang mahasiswa berhimpun di ibu negara hari ini untuk menuntut pinjaman pelajar melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan.

NONE

Pelajar berkenaan mula berkumpul di perkarangan Masjid Jamek, Kuala Lumpur pada pukul 2 petang dan berarak melalui Jalan Raja Laut untuk menuju kawasan pusat membeli belah Sogo.
Perhimpunan diketuai aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim dan pemimpin Solidariti Mahasiswa Malaysia itu turut disertai NGO Gabungan Anak Muda Pantai Timur.

NONE

Kumpulan berkenaan melaungkan slogan antaranya "Najib Altantuya", "Mansuh PTPTN", "Jahanam Umno-BN", "Musnah Rosmah", "Reformasi" dan "Jahanam Najib."

Kumpulan siswa itu turut membawa kain rentang antaranya dengan slogan bertulis 'Free education now!', 'Mahasiswa bukan robot' dan 'Mansuh PTPTN'.

NONEDi hadapan Sogo, kumpulan pelajar berkenaan bertindak mengalungkan bunga pada gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Dua orang MP PKR, Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar turub berucap ketika pelajar berkenaan berhimpun di hadapan Sogo.
NONEKumpulan berkenaan kemudiannya mula beredar daripada kawasan tersebut pada jam 3.30 petang dan berarak menuju Dataran Merdeka melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Gambar yang dikalungkan bunga itu turut diarak bersama pelajar berkenaan yang turut membawa satu objek menyerupai batu nisan.
Pengerusi SMM Muhamad Safwan Anang ketika ditemui di perhimpunan itu berkata tujuan mereka mengalungkan bunga dan meletakkan batu nisan tersebut sebagai simbolik kepada "kematian" peranan dua menteri tersebut dalam usaha menyelesaikan isu PTPTN.
NONE

Menurut Safwan, sebagai perdana menteri dan menteri pelajaran, mereka sepatutnya mengambil inisiatif bagi menyelesaikan isu pinjaman PTPTN yang didakwa membebankan pelajar.

"Sepatutnya kementerian pelajaran tinggi perlu ambil peranan tentang isu ini. Tetapi ini tidak. Sehinggakan perdana menteri menyebutkan angka yang salah. Beliau kata jumlah hutang PTPTN RM43 bilion sedangkan hanya RM27 bilion sahaja.

NONE

"Jadi kita kalung bunga itu sebagai simbol demokrasi yang telah mati dan merekalah yang bertanggungjawab di atas kematian demokrasi ini," katanya.

Kumpulan yang tiba di Dataran Merdeka kira-kira setengah jam kemudian bertindak memasang khemah di satu kawasan di tepi padang tersebut.
Safwan berkata mereka akan berkhemah di kawasan berkenaan sementara menunggu perhimpunan BERSIH 3.0 diadakan pada 28 April.
Kira-kira 80 orang peserta berkenaan turut berkumpul di satu sudut berkenaan dan menunaikan solat Asar berjemaah.
Beberapa orang anggota polis memerhatikan tindakan anak muda berkenaan daripada sebuah kenderaan balai polis bergerak di tepi padang tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi lewat petang ini berkata, tindakan mendirikan khemah itu tertakluk bawah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Sekiranya ada unsur jenayah baru kita akan ambil tindakan," katanya lagi kepada Malaysiakini.
Padang bersejarah Dataran Merdeka yang sering digunakan untuk konsert dan perbarisan peringkat nasional itu diuruskan DBKL.