Maut akibat langgar lembu

KEMASIK – Gara-gara lembu, seorang pekerja industri di Gebeng, Pahang menemui ajal sementara rakannya, cedera selepas melanggar haiwan ternakan berkenaan dalam nahas di Kilometer 122 Jalan Kuala Terengganu–Kuantan, dekat sini, malam semalam.

Kemalangan itu berlaku kira-kira jam 10.50 malam ketika mangsa, Muhammad Syazani Fadhli Mat Razak, 19, menunggang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan, Pahang.

Bagaimanapun, akibat mengalami kecederaan parah, Muhammad Syazani Fadhli yang beralamat di Bukit Payung, Marang menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11.05 malam iaitu 15 minit selepas kemalangan ketika dalam perjalanan ke Hospital Kemaman.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Abd Marlik Hakim Johar yang mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi berkata, mangsa dan rakannya yang menaiki motosikal jenis Honda Wave tidak sempat mengelak daripada melanggar lembu yang berada di tengah jalan.

Akibatnya, mangsa dan rakannya tercampak ke atas jalan namun hanya mangsa yang mengalami kecederaan teruk manakala rakannya hanya cedera ringan.

“Sejurus kemalangan, mangsa serta rakan dikejarkan ke Hospital Kemaman dengan ambulans Klinik Kesihatan Kemasik tetapi mangsa meninggal dunia dalam perjala-nan dan tidak sempat menerima rawatan,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan mangsa mempunyai lesen dan motosikal juga memiliki cukai jalan.

Menurut Abd Marlik, bedah siasat yang dilakukan jam 9 pagi semalam mendapati, mangsa meninggal dunia disebabkan mengalami kecederaan organ dalaman sebelum jenazah dituntut keluarga untuk dikebumikan.

Berikutan itu, beliau mengingatkan penternak di daerah ini agar tidak melepaskan haiwan peliharaan terutama lembu dan kerbau tanpa pengawasan kerana ia menyumbang kepada berlakunya kemalangan apabila haiwan berkeliaran di jalan raya.

“Pengguna jalan raya juga perlu sentiasa berhati-hati ketika melalui jalan yang gelap dan dekat dengan kawasan kampung.

“Selain haiwan ternakan, haiwan liar seperti babi hutan juga biasanya melintas pada waktu malam, justeru pengguna perlu berwaspada untuk mengelak kecelakaan,” katanya