‘Meninggal dunia’ punca BR1M ditolak

‘Meninggal dunia’ punca BR1M ditolak
JEMPOL - Sebelum ini, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dimohon ditolak atas alasan permohonan tidak lengkap.
Bagaimanapun, seorang pesara polis di Bandar Seri Jempol, dekat sini terkejut apabila mendapati masalah itu berpunca daripada kesilapan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang merekodkannya sebagai sudah meninggal dunia.
Segalanya terbongkar apabila Abdullah @ Abd Lah Ujang, 65, datang ke pejabat JPN di sini untuk mendaftarkan kematian isterinya pada 29 Februari lalu.
“Saya terkejut dan bagaikan tidak percaya apabila pegawai JPN memberitahu saya tidak boleh daftarkan kematian­ isteri saya, disebabkan saya sudah meninggal dunia pada 1 September 2000.
Menurutnya, dia pernah membuat rayuan­ berhubung permohonan BR1M, tetapi, sehingga kini belum terima sebarang jawapan.
“Tarikh saya direkodkan meninggal dunia itu sebenarnya tarikh saya bersara sebagai anggota polis,” katanya kepada Sinar Harian di kediamannya di Taman Seri Serting, Bandar Baru Jempol, semalam.
Bapa lima anak itu kemudian­ dinasihatkan pegawai JPN membuat surat akuan sumpah mengesahkan dia sebenarnya masih hidup.
“Segala maklumat berkaitan­ saya sudah serahkan kepada JPN, malah pegawainya juga ada datang ke rumah.
Abdullah berkata, dia bimbang kemungkinan menghadapi masalah lain kesan daripada kesilapan itu, terutama ketika berurusan dengan jabatan­-jabatan lain.
“Saya harap JPN selesaikan masalah saya dengan cepat. Saya bimbang ia menjejaskan peluang saya mengundi pada pilihan raya umum nanti,” katanya.-http://www.sinarharian.com.my/nasional/meninggal-dunia-punca-br1m-ditolak-1.39074