MMA kecam doktor jual sijil cuti sakit


KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengecam tindakan segelintir doktor yang mengaut keuntungan mudah dengan hanya menjual sijil cuti sakit (MC) kepada pelanggan mereka.
Presidennya, Dr Mary Suma Cardosa berkata, biarpun MMA tidak pernah menerima sebarang aduan rasmi berhubung isu berkenaan, namun pihaknya tetap memantau sebarang laporan berkaitan.


“Setakat ini, kita tidak menerima aduan berkaitan dan sekiranya urus niaga sedemikian wujud, kita harap ada pihak tampil menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dr Mary berkata, pihak persatuan tidak pernah menyokong sebarang aktiviti membabitkan salah laku di kalangan doktor mahupun pengamal perubatan.


“Dari sudut tindakan, kita tidak mempunyai kuasa untuk menjatuhkan sebarang hukuman sebaliknya berperanan sebagai orang tengah yang bertanggungjawab mendapatkan keterangan dan maklumat daripada pihak yang dituduh.



“Kita tegaskan bahawa tindakan menjual sijil cuti sakit kepada pelanggan demi keuntungan mudah adalah menyalahi etika perubatan. Bagaimanapun, seorang doktor itu berhak mengeluarkan MC berdasarkan penilaian yang dibuat terhadap pesakitnya,” katanya.-hmetro