Nekad lapor polis elak ibu menipu

Nekad lapor polis elak ibu menipu

KUALA LUMPUR – Seorang anak tidak sanggup melihat ibunya terus menipu orang ramai mengambil keputusan membuat laporan polis bersama mangsa yang pernah ditipu ibunya sejak beberapa tahun lalu.
Ibunya yang dikenali sebagai Sajitha, 48, menggelar dirinya sebagai bomoh yang boleh mengubati penyakit dan menghalang anasir jahat masuk ke dalam badan mangsa yang ditipu.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 19, tampil membuat laporan polis kerana tidak mahu ibunya terus menipu dan mengelakkan orang ramai menjadi mangsa datang ke rumahnya di Ampang.
Menurutnya, setiap hari, mereka yang menjadi mangsa penipuan ibunya datang ke rumah untuk meminta ganti rugi dan memulangkan semula barangan diambil ibunya.
“Saya risau dengan keadaan ini kerana tiga adik beradik yang masih kecil dan bersekolah berada dalam rumah itu kerana ada mangsa merosakkan barang dalam rumah.
“Saya tidak mahu perkara tidak elok berlaku dan mahu ibu berhenti menipu,” katanya di Bangunan MCA Jalan Ampang, semalam.
Nur berkata, ibunya dipercayai mengamalkan ilmu hitam sejak remaja dan diberitahu punca penceraian mereka juga disebabkan perkara tersebut.
Menurutnya, dia pernah melihat ibunya melakukan proses jampi bersama mangsa dalam bilik dan menjumpai darah, jarum dan kain putih.
“Akibat tidak tahan tinggal dengan ibu, saya mengambil keputusan tinggal bersama ibu saudara dan selepas berkahwin, ibu datang dan mahu suami saya memohon pinjaman­ peribadi.
“Apabila pinjaman diluluskan, saya mendapat tahu ibu menipu dan kami tidak menerima permohonan itu.
Nekad lapor polis elak ibu menipu“Disebabkan itu, ibu marah dan dipercayai menjadi punca suami saya sering sakit sejak kebelakangan ini,” katanya.
Turut sama pada sidang media itu, bapa tirinya yang hanya mahu dikenali Zul, 38, bekerja sebagai juru teknik.
Zul berkata, dia berkahwin dengan ibu Nur, lapan tahun lalu dan dikurniakan seorang anak perempuan.
“Saya rugi RM9,000 kerana dipercayai isteri saya menggunakan akaun orang lain untuk meminta duit akibat kerosakan kereta.
“Saya tidak pasti perkara ini dan tidak boleh ke luar negara kerana pasport dan anak saya bersamanya,” katanya.
Seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Zana, 31, berkata, dia kerugian 9, 000 selama setahun mengenali Sajitha.
Menurutnya, pelbagai ugutan diterima sekiranya dia tidak mengikut kehendak Sajitha.
Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, tujuh mangsa tampil membuat aduan bersama laporan polis dibuat.
Menurutnya, RM30,000 kerugian semua mangsa dan menasihatkan orang ramai jangan terlalu mempercayai perkara karut.--http://www.sinarharian.com.my/nasional/nekad-lapor-polis-elak-ibu-menipu-1.39080