Onar teman laman sosial


KUANTAN: Pengaruh dan penggunaan Internet tanpa sempadan yang semakin berleluasa termasuk laman sosial facebook dikesan menjadi punca berlakunya jenayah rogol di kalangan pelajar sekolah di negara ini.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata medium itu yang sepatutnya menjadi bahan rujukan positif disalahgunakan hingga mengundang perlakuan jenayah dan masalah sosial lain di kalangan pelajar serta remaja.


Katanya, berdasarkan indeks jenayah membabitkan pelajar sekolah, sebanyak 133 kes rogol direkodkan tahun lalu berbanding 222 pada 2010 menunjukkan 40 peratus penurunan.

“Walaupun jenayah rogol di kalangan pelajar sekolah ini menunjukkan penurunan, namun ia tetap membimbangkan.


“Akses kepada Internet dan laman sosial yang terlalu bebas tanpa kawalan sememangnya boleh menjurus kepada perlakuan jenayah dan masalah sosial,” katanya pada sidang media selepas Majlis Dialog Naib Pengerusi MCPF Kebangsaan Bersama Guru-Guru Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ) dan Ketua-Ketua Jabatan Negeri Pahang, di sini, semalam.



Turut hadir Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abd Ghani.

Lee berkata, melalui Internet dan laman sosial berkenaan pelajar terbabit akan berkenalan dengan individu tertentu yang seterusnya membawa kepada temujanji dan pertemuan sehingga ada yang lari dari rumah.


“Dari situ mereka terjerumus ke dalam masalah sosial seperti paparan gambar lucah, cerita seks dan pelbagai lagi yang akan menjurus kepada jenayah rogol,” katanya.

Katanya, semua itu berlaku disebabkan kebebasan tanpa kawalan diberikan ibu bapa kepada anak mereka yang masih di bangku sekolah.


Katanya, ibu bapa atau penjaga sepatutnya perlu memantau dengan tidak memberi kebebasan sepenuhnya kepada anak mereka untuk melayari Internet serta mengakses laman web negatif yang sememangnya merosakkan pemikiran golongan terbabit.



“Masalah yang timbul ini masih belum ada jalan penyelesaian holistik, semua pihak termasuk ibu bapa perlu mengadakan perbincangan lanjut bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengawal seterusnya memantau aktiviti sosial golongan pelajar,” katanya.



Lee berkata, selain rogol kes curi motosikal dan pecah rumah membabitkan golongan pelajar sekolah turut membimbangkan dengan masing-masing mencatatkan 579 dan 208 kes tahun lalu.



“Bagaimanapun, statistik perlakuan jenayah di kalangan pelajar sekolah menunjukkan penurunan iaitu sebanyak 1,512 kes sepanjang tahun lalu atau 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan indeks jenayah berbanding 1,862 kes pada 2010.



“Bagi Januari hingga Februari tahun ini jumlah kes jenayah membabitkan pelajar adalah sebanyak 233 kes dan bagi tempoh sama tahun lalu sebanyak 240 kes,” katanya.



Menurutnya, bagi menangani perkara itu daripada terus berleluasa, MCPF akan membantu KPJ di sekolah seluruh negara yang kini dianggarkan lebih 5,000 sudah ditubuhkan membabitkan 90 peratus sekolah rendah dan menengah.



“Kita akan membantu mereka (KPJ) dengan memberi garis panduan aktiviti boleh disertai pelajar selain membuat lawatan ke sekolah dengan mengadakan program penerapan nilai murni untuk membentuk generasi muda yang berwibawa seterusnya mencapai sasaran sifar jenayah,” katanya.-