PDRM wujudkan 4,000 jawatan baru


SIBU - Kira-kira 4,000 jawatan baru diwujudkan untuk mengisi kekosongan, terutama di balai polis seluruh negara tahun ini, kata Pengarah Bahagian Pengurusan Bukit Aman Datuk Mortadaza Nazarene.
Beliau berkata langkah itu bertujuan meringankan beban tugas pegawai dan anggota sedia ada.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan balai polis baru Sungai Merah berharga RM84.3 juta di sini hari ini, beliau berkata jawatan yang diwujudkan termasuk konstabel.
"Setelah selesai menjalani latihan selama enam bulan, kami akan hantar mereka ke balai-balai di seluruh negara. Dengan adanya mereka, kami kembali seimbang daripada segi jumlah anggota dan beban tugas," katanya.
Beliau berkata 11 daripada 13 projek balai polis baru di negeri ini dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan, telah siap dibina.
"Dua lagi, iaitu balai polis Lubok Antu dan Sri Aman, sedang dibina. Semua ini memerlukan kerajaan membelanjakan RM1.1 bilion," katanya.
Mortadaza berkata polis akan memohon peruntukan tambahan melalui semakansemula separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-10 untuk membiayai pembinaan lebih banyak balai baru bagi menampung pertumbuhan penduduk dan kawasan pembangunan baru.
Mengenai langkah membanteras dan mencegah jenayah, beliau menyeru pemimpin dan anggota masyarakat supaya meningkatkan kerjasama dengan polis untuk menjadikannya lebih berkesan.
"Sekiraya semua pihak peka tentang kegiatan jenayah di kawasan masing-masing, sikap prihatin dan komitmen yang mereka tunjukkan akan menjadi pencegah yang amat berkesan.
"Mereka yang ingin melakukan jenayah, akan berfikir dua kali untuk berbuat demikian," katanya.
Terdahulu, dalam ucapan beliau, Pesuruhjaya Polis negeri Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata balai polis Sungai Merah serba moden yang dibina di tapak seluas 14.24 hektar itu menggantikan balai lama yang dibina pada 1939. - Bernama