Peluang bersih nama rempit


DAVID (tiga dari kanan) bersama artis dan beberapa bekas pelumba negara yang memeriahkan pelancaran Rempit United, semalam.
DAVID (tiga dari kanan) bersama artis dan beberapa bekas pelumba negara yang memeriahkan pelancaran Rempit United, semalam.
David terbit dokumentari papar realiti golongan sering undang kontroversi

ENAM tahun lalu, produser kental, David Teo, kecewa apabila tajuk filem terbitannya, Remp-it V3 terpaksa ditukar kepada V3 Samseng Jalanan. Semalam, dia mengaku mula berasa lega apabila perkataan berkenaan tidak lagi dipandang serong, malah sudah pun digunakan untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Rempit United.
Pertubuhan yang sudah mencapai angka keahlian seramai 200,000 orang, daripada persatuan dan kelab bermotor membabitkan golongan berusia antara 16 hingga 30 tahun itu juga menerima sokongan tidak berbelah produser daripada syarikat Metrowealth Pictures terbabit.
Sebelum dokumentari itu dipaparkan, ia perlulah melalui meja perbincangan bersama badan NGO lain, kerajaan dan pihak berkaitan lain bagi mencapai satu kajian yang adil terhadap isu ini. - David Teo
Katanya, persetujuan itu diambil bagi membuktikan kebenaran bahawa tidak semua golongan rempit hanya mengundang gejala negatif.

“Saya melihat penubuhan NGO seperti ini mampu untuk mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap golongan rempit. Dulu, sebelum saya menerbitkan filem Remp-It, semua orang tidak peduli apa itu rempit sehinggalah ia dilahirkan dan mengundang kontroversi.

“Saya membawa artis yang berlakon dalam filem saya seperti Adnan Sempit, bagi menjadi ikon untuk mendekati golongan ini. Tidak semua rempit itu jahat kerana jenayah atau perkara negatif itu dilakukan segelintir pihak saja,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran NGO berkenaan yang mendapat sokongan syarikatnya, di Kuala Lumpur.

Katanya, kerjasama itu juga jelas menunjukkan keberaniannya membuktikan pandangan serong masyarakat terhadap golongan itu tidak tepat sama sekali. 
Susulan kerjasama bersama Rempit United yang diluluskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu, produser ini melahirkan hasrat menerbitkan dokumentari dan drama berasaskan inti pati kisah golongan yang sering disalahertikan itu.

“Antara sumbangan dan program yang akan mewarnai Rempit United ialah kelahiran dokumentari yang memaparkan realiti dan liku hidup yang dilalui golongan ini, termasuklah mereka yang terbabit secara tidak langsung dengan kewujudan mereka, seperti polis.

“Tetapi sebelum dokumentari itu dipaparkan, ia perlulah melalui meja perbincangan bersama badan NGO lain, kerajaan dan pihak berkaitan lain bagi mencapai satu kajian yang adil terhadap isu ini,” katanya sambil memberitahu, dokumentari sejam berkenaan akan disiarkan di stesen televisyen.

Selain itu, barulah ia disusuli penerbitan drama berkisarkan rempit. Ia akan menggunakan pelakon yang sudah berpengalaman membawakan watak golongan itu seperti Shaheizy Sam dan Intan Ladyana.

“Saya sebenarnya sudah lama memendam hasrat untuk melahirkan dokumentari seperti ini dan akhirnya ia akan terlaksana juga. Lagipun, realiti yang dipaparkan dalam dokumentari itu dapat menjelaskan sudut pandang semua pihak,” katanya.

Antara artis yang akan menyertai kempen permulaan yang akan dilaksanakan di Kuala Terengganu sekitar Jun ini ialah Zizan Razak, Sam, Intan, Sari Yanti, Nora Danish dan Ilia Iryani.

“Saya menggalakkan artis di bawah Metrowealth untuk menyertai kempen ini dan sebagai tanda sokongan, artis ini akan hadir memberikan kata semangat dan motivasi kepada golongan rempit untuk membuktikan siapa mereka sebenarnya, serta menangkis pandangan buruk terhadap mereka selama ini,” katanya.
Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Presiden Rempit United, Wazi Abdul Hamid, serta pelumba veteran negara, M Meganathan.-http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Peluangbersihnamarempit/Article