Penjaja lecur seluruh badan

Penjaja lecur seluruh badan
KOTA BHARU - “Saya terdengar suami menjerit meminta tolong, dan bila saya masuk ke dalam stor memasak tempat dia berdiri, saya tengok keseluruhan badanya melecur dan dia mengerang kesakitan,” kata isteri mangsa kebakaran di Kampung Pengkalan Nangka, Pengkalan Chepa, Faridah Salleh, 47.

Ketika kejadian pada jam 12.45 tengah hari, mangsa, Wan Masri Wan Mahmood, 60, berada di dalam stor terbabit memindahkan gas dari tong gas memasak seberat 12 kilogram ke dalam tong yang lebih kecil bagi memudahkan dia berniaga kacang rebus.

Menurut Faridah, ketika kejadian dia berada di luar stor terbabit meninjau keadaan pokok yang ditanam di kawasan persekitaran.

“Kejadian terlalu pantas dan saya tergamam apabila terdengar suami menjerit. Saya terus menerpa ke arahnya dan terkejut apabila melihat beberapa bahagian badanya termasuk dada, belakang dan kepala melecur,” katanya.

Faridah berkata, tanpa berlengah dia terus dapatkan anaknya Muhammad Fahmi, 17,yang ketika itu berada di dalam rumah bersama kakaknya, Wan Nurfahana, 22 bagi mendapatkan bantuan bomba dan ambulans.

“Tidak saya sangka, kejadian ini menimpa suami yang sudah lebih 10 tahun menjual kacang rebus. Dia sebenarnya sudah biasa melakukan kerja-kerja memindahkan gas dari tong besar ke tong kecil setiap kali sebelum keluar berniaga berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

“Ini merupakan kejadian pertama sepanjang dia menjalankan perniagaan menjual kacang rebus dan saya harap keadaannya stabil dan tidak mengalami masalah komplikasi yang teruk akibat kebakaran itu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kanan (PBK II) Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa Raja Arisan Raja Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.47 tengah hari.

“Sebuah jentera dengan lima anggota dihantar ke tempat kejadian yang tiba kira-kira jam 1 petang. Kebakaran berjaya dikawal dalam masa lima minit namun stor memasak terbabit tidak dapat diselamatkan kerana api yang cepat merebak,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengesyaki punca kebakaran berlaku akibat kebocoran tong gas semasa peniaga terbabit memindahkan gas ke tong yang lebih kecil.

“Mangsa mengalami lecur hampir 60 peratus di bahagian badan dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) untuk menerima rawatan susulan,” katanya.-Sinarharian