Penunggang maut, pelanggaran dengan lori bawa kelapa sawit


KUANTAN - Seorang penunggang motosikal maut manakala rakan pemboncengnya parah selepas terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan di Km37 Jalan Temerloh-Jerantut dekat Kampung Seboi, Kuala Krau awal pagi ini.

Mangsa, Edy Surya, 23, mati di tempat kejadian manakala rakannya Saipul Rahman Marohan, 18, parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Menurut Pegawai Penguatkuasa Trafik Polis Kontinjen (IPK) Pahang, ASP Zainalabidin Othman, dalam kejadian pukul 12. 09 pagi itu, kedua-dua mangsa warganegara Indonesia itu dalam perjalanan dari arah Kuala Krau menuju ke Kuala Mai.

"Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai melanggar bahagian belakang lori yang bermuat kelapa sawit yang diletakkan di bahu jalan sebelah kiri
menghala ke Jarantut.

"Kedua-dua mangsa yang bekerja sebagai buruh ladang itu mengalami kecederaan parah di kepala dan badan. Penunggang disahkan meninggal oleh Hospital Jerantut, manakala pembonceng yang parah itu di bawa ke hospital di Temerloh untuk rawatan selanjutnya," katanya di sini, hari ini.

Zainalabidin berkata siasatan awal mendapati semasa kejadian jalan basah kerana hujan dan kawasan gelap. - Bernama