Peragut diikat dibelasah

KUANTAN: Cubaan seorang lelaki meragut beg tangan seorang wanita warga emas bukan saja gagal, malah dia bermandi darah akibat dibelasah orang ramai selepas diikat pada tiang telefon, di Permatang Badak, di sini, tengah hari, kelmarin.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, peragut yang berusia 20-an dan tinggal di Kampung Chendering, di sini, cedera di muka akibat dibelasah.

Difahamkan, sebelum kejadian, lelaki terbabit yang menunggang motosikal Yamaha Nouvo berhenti di tepi jalan dan mematikan enjin sebelum berjalan menuju ke arah mangsa yang berusia 60-an. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff mengesahkan lelaki terbabit sudah ditangkap dan diserahkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, lelaki terbabit tidak sempat melarikan diri kerana gagal menghidupkan enjin motosikal sebelum diberkas orang ramai yang berada di tempat kejadian.

Katanya, polis menghargai kerjasama orang ramai dan berharap tindakan berani sedemikian diteruskan pada masa akan datang bagi membanteras kegiatan jenayah.

“Bagaimanapun, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana curi,” katanya di sini, semalam.-mymetro