Polis buru Ravi lari gadis


KUANTAN: Polis Pahang memburu seorang lelaki dikenali sebagai Ravi, 53, yang dipercayai melarikan seorang remaja perempuan berumur 17 tahun dari rumahnya di Taman Fairmont, dekat sini sejak 12 hari lalu. 

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusof, berkata pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan walaupun setakat ini tiada perkembangan terbaru mengenai kes itu.
Beliau berkata, foto Ravi juga diedarkan dan dihebahkan kepada pihak media kelmarin.
“Tiada perkembangan terbaru mengenai mangsa. Bagaimanapun kita yakin dapat mengesan pelajar itu tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Kelmarin seorang ahli perniagaan, Raghbir Singh Sulakhan Singh, 44, mendakwa anak perempuannya, Balvin Kaur, 17, pelajar Tingkatan Lima hilang selepas keluar dari rumahnya sehelai sepinggang jam 12 tengah hari pada 7 April lalu. 

Mohd Jasmani dalam pada itu turut meminta kerjasama orang ramai dalam mengesan mangsa dan sebarang maklumat hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di talian 09-5652222. 

Di JOHOR BAHRU, ahli keluarga seorang remaja perempuan, Fatma Atika Nizam, 15, yang menghilangkan diri sejak lapan hari lalu, masih ternanti-nanti khabar mengenainya yang masih gagal dikesan. 
Usaha ibunya, Zaimah Selamat, 39, menghubungi gadis terbabit berdasarkan nombor telefon bimbit yang pernah digunakannya ketika menghubungi keluarganya Jumaat lalu tidak berhasil. 

“Malah, sejurus berita mengenai kehilangan Fatma disiarkan Berita Harian hari ini (semalam), ramai pihak tampil menyatakan kesudian membantu termasuk secara perubatan tradisional. 

“Kegagalan Fatma atau ibu angkatnya menghubungi kami cukup meresahkan,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam. 

Semalam, Berita Harian menyiarkan berita mengenai pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2 yang menghilangkan diri daripada rumah keluarganya di Taman Kota Masai di sini, selepas keluar jam 5.30 pagi untuk ke sekolah.-Beritaharian