Pondan boleh bersaing jadi ratu

Penaja ‘Miss Universe’ ubah fikiran kriteria kelayakan Jenna Talackova

TALACKOVA (kanan) bergambar dengan peserta Korea Selatan, Mini, dalam pertandingan “Miss International Queen 2010’ di Pattaya, Thailand.
Boleh Tahan
NEW YORK: Penganjur ‘Miss Universe’ mungkin menarik balik keputusan terdahulu yang menghalang seorang pondan menyertai pertandingan ‘Miss Universe’ Kanada 2012. Jenna Talackova, 23, dilahirkan sebagai lelaki menyebabkan pihak penganjur menolak permohonannya mengambil bahagian bulan lalu sebagai peserta akhir pertandingan Miss Universe Kanada pada Mei ini.
Ini bercanggah dengan Talackova dari Vancouver kerana dia menjalani pembedahan jantina, empat tahun lalu.

Tetapi, sebaik selepas Talackova mengadakan sidang media di Los Angeles bersama peguam berprofil tinggi, Gloria Allred pada Selasa minggu lalu, penganjur Miss Universe di New York itu dalam satu kenyataan di laman web Miss Universe Kanada berkata, Talackova boleh bertanding dengan syarat memenuhi peraturan mengiktiraf jantina mengikut perundangan Kanada dan standard yang ditetapkan pertandingan antarabangsa lain.

Kenyataan itu tidak mengulas lanjut dan usaha mendapatkan pengesahan penganjur Miss Universe belum diberi jawapan balas.
Peguam yang pakar mengenai perlembagaan dari Vancouver, Joe Arvay, seorang anggota pembelaan Talackova memberitahu Associated Press, dia tidak memahami kenyataan penganjur Miss Universe Kanada mengenai peraturan mengiktiraf jantina berdasarkan undang-undang.

“Saya tidak tahu apa yang mereka maksudkan,” katanya.

Arvay berkata, peraturan pertandingan, hanya wanita semula jadi boleh bertanding, bercanggah dengan perundangan hak asasi manusia Kanada dan satu aduan akan difailkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Kemanusiaan Ontario.

“Disebabkan tiada penjelasan, kami akan terus meminta mahkamah membuat keputusan,” kata Arvay.
Penyingkirannya menyebabkan Talackova mendapat simpati meluas dan membangkitkan persoalan sama ada pertandingan itu berhak memutuskan siapa adalah wanita.

Perubahan jantina beliau adalah sukar untuk dirahsiakan kerana sebelum acara itu beliau pernah bertanding dalam Pertandingan Ratu Antarabangsa Tiffany bagi pondan dan transeksual di Pattaya, Thailand pada 2010.

Dalam satu video temubual pertandingan itu, beliau berkata beliau menjalani kehidupan sebagai perempuan sejak berusia empat tahun, memulakan terapi hormon pada usia 14 dan mengubah jantina pada usia 19 tahun. – AP