PTPTN: Aktivis mahasiswa di Dataran Merdeka diserang


SHAH ALAM - Aktivis-aktivis mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka dalam kempen mereka menuntut pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), mendakwa mereka diserang oleh sekumpulan individu, yang menurut mereka kumpulan samseng, awal pagi tadi.
Aktivis itu yang berkhemah di Dataran Merdeka buat hari keenam hari ini, diserang sekitar 2.45 pagi tadi.
Mesej mengenai serangan itu disebarkan menerusi laman sosial Facebook dan Twitter.
Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Muhammad Safwan Anang ketika dihubungi awal pagi ini mengesahkan mereka diserang dan beberapa aktivis dimasukkan ke hospital.
"Ya, kami semua diserang 60 gengster, tidak tahu siapa dan mereka merobohkan semua khemah kami.
"Kami disepak diterajang ditumbuk dan dihalau dari Dataran. Tapi kami masih tetap di sini. Seorang sedang dapat rawatan kecederaan di Hospital KL.
"Masa itu kami dalam 40 orang. Yang cedera ringan dalam lima orang sebab dipukul. Seorang dibawa ke hospital," katanya lagi.