SM Faisal Nasimuddin
PUTRAJAYA - Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Syarikat Naza Datuk SM Faisal SM Nasimuddin dinamakan sebagai pemenang Pemimpin Muda Anugerah Kepimpinan Global (GLA) 2012.

Pengiktirafan itu susulan kejayaan Faisal, 32, memperkukuhkan Naza, sebagai konglomerat terbesar Malaysia yang setakat ini memiliki 43 syarikat.

Pengerusi Eksekutif Westports Malaysia Tan Sri G. Ganalingam dan Pengarah Urusan Malaysia Airport Holdings Berhad Tan Sri Bashir Ahmad pula masing-masing menerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup.

Anugerah disampaikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed di sini malam ini.

Turut menerima anugerah ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Berhad Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman (Sektor Pelaburan), Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Westports Malaysia Ruben Emir Gnanlingam (Sektor Logistik), CEO Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) Zulkefli Sharif (Sektor MICE), Presiden dan CEO Return 2 Green Sdn Bhd Prof. Ramaness Parasuraman (Sektor Tenaga Diperbaharui) serta Pengasas dan CEO Kumpulan Sedania Datuk Azrin Mohd Noor (Sektor Teknologi).

Pengerusi Kumpulan Syarikat Al Khonji dan Omani Group for Contracting Materials, Khalil Abdullah Mohammed Al Khonji dinamakan pemenang

"Philanthropist of the Year", Pengarah Pengurusan Bersama Apollo Hospitals Group, Suneeta Reddy (Masterclass Woman Entrepreneur of the year) sementara Pengasas dan Pengerusi Gusi Peace Prize Foundation, Duta Barry Gusi (International CSR Award of the Year).

GLA merupakan anugerah berprestij yang diberi sebagai pengiktirafan kepada pemimpin syarikat sebagai peneraju dalam industri masing-masing

Anugerah dianjurkan oleh majalah Leaders International dan diuruskan MY Events International. - Bernama