Sosej berperisa pasir



Sosej berperisa pasir
KUANTAN – Seorang kakitangan swasta tidak dapat menikmati sosej berperisa lada hitam kegemarannya selepas merasa pasir ketika mengunyah sosej itu.

Roslam Mohamad, 46, berkata, dia membeli sosej itu bersama isterinya, Norehan Zakaria, 37, di sebuah pasar raya, di sini malam kelmarin.

Menurutnya, ketika pulang dari pasar raya berkenaan, dia meminta isterinya untuk menyediakan sosej tersebut, namun kecewa setelah merasainya.

“Pada mulanya, saya menyangka rasa kasar itu ialah serbuk lada hitam yang ada di dalam sosej berkenaan.

“Namun, setelah beberapa kali merasa benda yang sama, saya jadi pelik. Dalam fikiran saya, takkanlah serbuk lada hitam sekasar itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak di Indera Mahkota 6, di sini semalam.

Tambahnya lagi, isterinya juga turut mengadu perkara yang sama setelah memakan sosej itu.

“Bila isteri saya menyatakan perkara yang sama, saya yakin bahawa ‘benda’ kasar itu ialah pasir, bukannya serbuk lada hitam yang tidak hancur.

“Saya dan isteri juga cuba untuk menguraikan isi sosej itu dan mendapati isinya bercampur dengan pasir,” katanya.

Roslan berkata, dia sering menjadikan sosej sebagai hidangan malamnya namun itu adalah kejadian pertama dialaminya.

“Sebelum ini, saya pernah membeli makanan yang dihasilkan oleh syarikat yang sama dengan sosej itu. Puas hati dengan produk yang dihasilkan membuatkan saya ingin membelinya lagi.

“Namun, apa yang berlaku membuatkan saya benar-benar serik dan akan berhati-hati selepas ini,” katanya.

Katanya, jika benar tekstur kasar yang dirasainya itu pasir, dia meminta supaya pihak bertanggungjawab lebih peka serta mengutamakan kebersihan dan keselamatan pengguna.

“Jika dibiarkan, saya bimbang ramai lagi yang mengalami nasib yang sama seperti saya. Justeru, saya harap pihak terbabit mengambil tindakan segera serta meneliti semula bahan-bahan yang digunakan dalam pembuatan sosej itu,” katanya.-Sinarharian