Suspek bunuh 3 beranak ditahan


AMPANG: Polis menahan dua suspek dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan tiga beranak yang maut akibat terminum susu beracun di Taman Sri Ramal, Kajang pada 1 April lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, seorang suspek ditahan polis di Jalan Sultan Ismail jam 1.30 tengah hari, kelmarin.


“Polis merampas dua rantai emas dipercayai milik mangsa dan wang tunai RM1,780. Berikutan penahanan itu, polis ke hotel di Jalan Masjid India tempat suspek menyembunyikan diri.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui tiga telefon bimbit dipercayai milik mangsa,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini, semalam.


Adnan berkata, polis menahan seorang lagi suspek jam 7 malam hari yang sama di kuil di Jalan Cheras Sungai Long, Kajang.



Dalam kejadian itu, tiga beranak M Sakunthala, 63; anak perempuannya K Rajeswary, 28, dan anak lelaki Manivaran, 33, maut akibat perbuatan khianat.