Tak sempat mula kerja baru


Tak sempat mula kerja baru

KOTA TINGGI – Seorang lelaki mati dipercayai dibelasah dalam kejadian malam kelmarin di Dewan Kampung Makam, dekat sini.
Mangsa, Syaiffudin Jalil, 26, yang sepatutnya mula bekerja di sebuah kilang di Johor Bahru semalam, ditemui terbaring oleh orang awam kira-kira jam 8.40 malam.

Dia disahkan meninggal dunia di wad Hospital Kota Tinggi (HKT) akibat cedera parah di bahagian kepala.
 
Menurut ayah mangsa, Jalil Jusoh, 55, dia dimaklumkan oleh polis kira-kira jam 10 malam mengenai kejadian yang menimpa anak sulung daripada empat adik-beradik itu.
 
“Saya begitu terkejut apabila polis memberitahu anak saya berada di HKT kerana dibelasah. 
 
“Anak saya baru saja berpindah ke Kota Tinggi dan tinggal menyewa di kawasan perumahan Taman Kota Kecil. Dia juga telah membayar deposit rumah sebanyak RM700 sebelum menduduki rumah tersebut pada Rabu lalu.
 
“Malah sebelum kejadian, dia sempat memaklumkan kepada kami di mana dia akan mendaftar pada jam 8 pagi bagi memulakan kerjanya pada hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HKT semalam.
 
Menurutnya, dia yang tinggal bersama keluarganya di Mersing bergegas ke Kota Tinggi bersama isteri dan anak selepas menerima berita tersebut.
 
Sementara itu, ibu mangsa, Rokiah Sani, 53, berkata, anaknya yang baru sahaja menamatkan pelajaran di pusat GiatMara di Mersing itu sempat menyatakan impiannya untuk memiliki motosikal besar.
 
“Apa yang menyedihkan sebelum pulang ke rumah sewanya Rabu lalu, dia sempat berkata kepada saya dia mahu kumpul wang yang banyak untuk beli motosikal besar.
 
“Malah dia juga sempat berkata kepada saya “kita akan balik lagi” untuk bayar semula wang yang dipinjamkan dari ayahnya. 
 
“Namun kami tidak sangka dia akan pergi selamanya,” katanya yang tidak dapat menahan sebak.
 
Adik bongsu mangsa, No­r­syaz­wa­ni, 13, berkata, abangnya juga sempat berjanji mahu membelikannya telefon bimbit setelah mendapat gaji di tempat kerja barunya itu. 
 
“Dahulu abang pernah bekerja di Johor Bahru, namun berhenti untuk sambung pelajaran,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Mersing itu.
 
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Che Mahazan Che Aik ketika mengesahkan kejadian tersebut berkata, mangsa dipercayai maut akibat kecederaan parah di kepalanya.
 
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terlibat dengan pergaduhan sebelum dijumpai orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan berseluar pendek tanpa pakaian. 
 
“Selain itu sebuah motosikal jenis Kriss Modenas dipercayai milik mangsa turut sama dijumpai berada di tempat kejadian. Siasatan masih dijalankan, manakala mayat mangsa yang dihantar ke HKT kini dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah untuk dibedah siasat,” katanya.- Sinarharian.