Tambang haji tahun ini kekal RM9,980


JAMIL Khir (kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Othman Mustapha 
di KLIA, semalam.
JAMIL Khir (kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Othman Mustapha di KLIA, semalam.
Terus beri subsidi walaupun kos penginapan naik

SEPANG: Umat Islam yang terpilih menunaikan ibadat haji kali pertama tahun ini melalui muassasah akan menikmati kos sama seperti musim lalu iaitu RM9,980.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata jemaah haji yang menunaikan ibadat itu bagi kali kedua atau seterusnya pula perlu membayar tambang mengikut kos sebenar tanpa subsidi.
Selepas kerajaan dan Tabung Haji berbincang, kita kekalkan tambang untuk jemaah tahun ini. Ini keistimewaan kepada jemaah haji diberikan oleh kerajaan. - Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Beliau berkata, kerajaan dan Tabung Haji (TH) mengutamakan kebajikan rakyat apabila mengekalkan tambang haji tahun ini meskipun berdepan kenaikan kos terutama penginapan yang meningkat sehingga 15 peratus.

“Selepas kerajaan dan TH berbincang, kita kekalkan tambang untuk jemaah tahun ini. Ini keistimewaan kepada jemaah haji diberikan oleh kerajaan,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik pulang selepas mengadakan lawatan dan perbincangan dengan Menteri Haji Arab Saudi, Dr Bandar Mohammad Al-Hajjar di Jeddah, Arab Saudi, semalam.

Jamil Khir berkata, seramai 28,000 jemaah haji dari Malaysia dijangka mengerjakan haji tahun ini dengan penerbangan pertama berlepas ke Makkah dijadualkan pada 17 September dengan hari wukuf dijangka pada 25 Oktober depan.

Ditanya mengenai isu rombongan umrah dari Malaysia yang terkandas sebelum ini menggunakan agensi swasta, Jamil Khir berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat khas bersama semua agensi dan kementerian terutamanya Kementerian Pelancongan bagi mengatasi masalah itu. 
“Kita dapat maklumat mereka terbabit bukan jemaah TH, tetapi kita akan bantu mereka. Bagaimanapun, kita tidak mahu perkara ini berulang dan kita akan mencari penyelesaian supaya masalah seperti ini tidak akan berlaku,” katanya.

Dalam lawatannya itu Jamil Khir sempat menziarahi seorang jemaah Malaysia, Omar Din, 77, yang kini koma di Hospital King Abdullah sejak 2 November lalu ketika mengerjakan ibadat haji tahun lalu.

Beliau berkata, jemaah Malaysia yang berasal dari Kampung Permatang Paku Dalam, Alor Setar, Kedah itu disahkan mendapat jangkitan paru-paru.

“Pegawai kita sentiasa memantau perkembangan Omar dan kita juga menaja isterinya, Zauyah Ahmad untuk melawat suaminya yang masih terlantar pada Februari lalu,” katanya sambil melahirkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi yang menanggung sepenuhnya rawatan perubatan Omar.-Beritaharian