Tertelan ikan puyu, empat jam tahan sakit

Tertelan ikan puyu

KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak terpaksa menanggung kesakitan hampir empat jam, selepas tertelan seekor ikan puyu hidup.

Muhammad Akhif Danish Shamsuri, 4, dikatakan melihat ikan itu dalam sebuah balang dipelihara datuknya di Kampung Pulai Condong, Machang sebelum memasukkan ke dalam mulut.

Bapa kanak-kanak berkenaan, Shamsuri Shafie, 28, berkata, ketika kejadian, dia tidak berada di rumah dan bergegas pulang setelah diberitahu kejadian oleh adiknya.

“Saya mendapat panggilan­ meminta saya pulang. Dia beritahu, ikan puyu tersangkut dalam mulut anak saya dan berdarah,” katanya.

Shamsuri bagaimanapun berkata, adiknya sempat memegang ekor ikan itu bagi mengelakkan ia terus masuk ke dalam kerongkong Muhammad Akhif.

“Adik saya dengan segera membawa anak saya ke Hospital Machang. Bagaimanapun, dia dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZII) untuk rawatan susulan.

“Nasib baik anak saya tidak tertelan ikan itu, jika tidak mungkin keadaannya bertambah parah,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya, doktor bercadang membelah halkum kanak-kanak itu untuk mengeluarkan ikan itu, namun keputusan itu ditarik balik dan doktor hanya membius mangsa dan mengeluarkan ikan itu tanpa perlu melakukan pembedahan.

“Ia menjadi pengajaran­ kepada saya dan juga ibu bapa lain agar menjaga anak dan memastikan mereka selamat dan tidak terdedah dengan permainan berbahaya,” katanya.-Sinar