Tidak mahu pulangkan PTPTN

SHAH ALAM – Sekumpulan pelajar yang terlibat dalam demonstrasi Sabtu lalu, bertegas tidak akan memulangkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) walaupun dicabar Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Haziq Abdul Aziz berkata, dia mewakili penuntut lain berkata demikian kerana menyifatkan kenyataan menteri itu tidak berasas dan bersifat politik semata-mata.

"Beliau sepatutnya mendengar penjelasan penuntut kenapa demonstrasi diadakan, bukan ditentang secara melulu.

"Mahasiswa mengadakan demokrasi secara aman ini hanya mahukan keadilan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, seorang lagi penuntut, Adam Adli Abd Halim turut mencabar Mohamed Khaled turun padang menjelaskan isu PTPTN.

Semalam, Mohamed Khaled mencabar penuntut terlibat demonstrasi mansuhkan PTPTN memulangkan semula pinjaman bagi membuktikan mereka sememangnya enggan pembiayaan pendidikan itu diteruskan.-Sinar Harian