Umno sebabkan Unisel belanja RM2.3 juta sebulan untuk pinjaman, bangunan


Affandi Malik

KUALA LUMPUR 17 April: Pentadbiran Umno di Selangor sebelum 2008 menyebabkan Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) menjadi beban kewangan buat kerajaan negeri dengan belanja bulanan sebanyak RM2.3 juta.

Ini kerana, Unisel dibina berdasarkan konsep ‘Build Operate Transfer’ (BOT) dengan kontrak selama 20 tahun menyebabkan ia terpaksa membayar sewa bulanan sebanyak RM300,000 sebulan.
Malah, Unisel turut membayar sebanyak RM2 juta sebulan untuk satu pinjaman yang dibuat beberapa bulan sebelum pilihan raya umum ke-12 berlangsung.

Perkara itu didedahkan Timbalan Pengarah Biro Mahasiswa Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Affandi Malik dalam kenyataan medianya sebentar tadi.
Affandi (gambar) mendakwa kontrak membina Unisel yang dimeterai sewaktu BN mentadbir Selangor diberi kepada Jana Niaga Sdn Bhd, sebuah syarikat milik keluarga dan kroni Datuk Seri Dr Khir Toyo.

Malah, bangunan yang dibina juga tidak sempurna mengakibatkan universiti sendiri terpaksa berbelanja ratusan ribu ringgit untuk pembaikan, katanya.
Bangunan asrama Unisel juga hanya menerima sijil selamat diduduki (CF) selepas Pakatan Rakyat mentadbir Selangor, katanya.

Beliau yang juga mantan Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar Unisel sesi 2008-2009 turut mendedahkan bahawa Unisel membuat pinjaman sebanyak RM150 juta sebelum pilihan raya umum ke-12 pada tahun 2008.
“Pinjaman yang dibuat kononya untuk fasiliti dan penambahbaikan universiti lesap selepas PRU 12 yang lalu. Perjanjian pinjaman dengan bayaran balik bulanan Rm2 juta sebulan ini akhirnya ditanggung universiti dan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor,” katanya.

Pendedahan itu dibuat Affandi sebagai respons kepada desakan berterusan sayap Pemuda Umno yang mahu kerajaan Selangor memberikan pendidikan percuma jika Pakatan Rakyat bersungguh mahu menghapuskan pendidikan percuma.

“Bagi Biro Mahasiswa tindakan-tindakan di zaman pemerintahan UMNO-Barisan Nasional terhadap UNISEL seolah-olah ‘melacurkan’ institusi pengajian tinggi dan membunuh masa depan anak-anak muda dengan menjadikan pendidikan sebagai perniagaan untuk mengaut keuntungan,” katanya.-http://www.keadilandaily.com/?p=29236