Warga emas mati ditanduk lembu ketika baiki kandang

Seorang warga emas mati akibat ditanduk seekor lembu ketika sedang membaiki kandang ternakan itu di kawasan Perindustrian Bukit Raja di Klang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Supt Mohd Shukor Sulong berkata kejadian pada pukul 7.30 malam itu mengakibatkan Tan Chai Tiam, 69, mati akibat cedera parah pada bahagian dada.

Menurut saksi kejadian, Tan enggan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan namun setelah keadaannya semakin lemah, saksi menghubungi ambulans.

"Mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 10 malam di tempat kejadian," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata kejadian itu dilaporkan oleh pemilik ladang berkenaan Sukhpal Singh, 71.

Mayat Tan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang dan telah dituntut oleh anaknya.

Tan difahamkan sering mengambil upah membaiki dan membina kandang lembu di kawasan sekitarnya.

- Bernama